Sedang membelek diri di cermin, saya terperasan akan sesuatu benda yang tidak kena pada anggota badan. “Kenapa saiz payudara saya berbeza, sebelah kecil sebelah besar, adakah ia normal?”
Ukuran payudara besar sebelah adalah kerisauan yang mengganggu ramai perempuan. Apa yang mereka tidak tahu sebenarnya payudara bukanlah sama ukurannya sepanjang masa.
Payudara besar sebelah ialah keadaan ketika terdapat perbezaan dalam ukuran, bentuk, posisi, atau isi padu kedua payudara wanita. Pada umumnya, keadaan ini akan nampak lebih menonjol perbezaannya sewaktu masa haid dan kemudiannya akan seimbang sendiri. Laporan menunjukkan lebih separuh populasi wanita di dunia memiliki sepasang payudara yang besar sebelah. Biasanya bahagian kiri akan lebih besar – hingga 20 peratus – berbanding bahagian kanan.
Kenapa payudara besar sebelah?
Payudara ialah kalenjar lemak yang terletak di bahagian depan dinding dada. Berat satu bahagian boleh mencapai sekitar 200-300 gram dan terdiri daripada 12-20 jaringan lobus yang tersebar dari puting, seperti jaringan rim pada roda kenderaan. Lobus-lobus ini berbentuk segi tiga dan kesemuanya mempunyai satu saluran tengah yang berakhir di puting, sebagai tempat susu badan mengalir keluar.
Jaringan payudara anda berubah mengikut kitaran masa. Contohnya, anda mungkin mendapati bahawa payudara terasa lebih penuh dan tegang, serta lebih sensitif, ketika anda sedang dalam masa ovulasi. Ini mungkin disebabkan pembesaran payudara kerana penyimpanan air dan tambahan aliran darah akibat peningkatan estrogen. Satu kajian mendapati bahawa payudara akan kelihatan paling tidak serupa pada hari pertama ovulasi. Apabila anda mengalami haid pula, payudara anda akan kembali mengempis.
Adakah ia normal atau perlu merujuk pada doktor?
Sebab payudara berbeza ukuran tidak diketahui sebabnya namun faktor penyumbang mungkin kerana perubahan hormon atau kecederaan traumatik.
Pakar menjelaskan ia adalah normal jika payudara berlainan ukuran. Khususnya untuk remaja yang dalam perkembangan tumbesaran, satu payudara mungkin tumbuh lebih cepat daripada yang lain. Jika perbezaan payudara mengganggu anda, anda boleh memilih bra dengan cup yang sesuai dengan sisi yang lebih besar. Ini akan menjadikan payudara anda kelihatan dalam ukuran yang sama. Jurujual boleh membantu anda mendapatkan ukuran yang betul jadi jangan sesekali malu – yakinlah mereka telah membantu orang lain dengan kebimbangan yang sama!
Sekiranya anda masih tidak selesa, rujuklah dengan doktor atau pakar sakit puan. Beliau boleh meyakinkan anda bahawa payudara anda adalah normal dan lebih lanjut perihal yang berkaitan. Dalam situasi yang menyebabkan beban fizikal dan psikologi berat sehingga doktor menyarankan pembedahan, pembedahan mengurangkan isi padu payudara, (breast reduction surgery), lebih disarankan berbanding menggunakan implan.
Sekarang dah jelas? Kesimpulannya, jika anda memiliki payudara besar sebelah sejak dahulu, anda tidak perlu risau. Namun jika perubahan ini berlaku tiba-tiba, atau jika anda menyedari sebarang perubahan, walaupun kecil, rujuk pakar.