Menjadi seorang bintang bukanlah mudah seperti yang ramai gambarkan kerana kreativiti dan mencari identiti diri yang tersendiri itu adalah mustahak agar orang mudah jatuh hati bukan sahaja dengan bakat tetapi juga dengan persona diri yang ditanpilkan.
Sekitar 90-an, band terkemuka Paramore sangat popular dalam kalangan anak remaja bukan hanya kerana lagu-lagu hip yang mereka sampaikan tetapi karakter yang ditampilkan vokalis bernama Hayley Williams itu turut menyerlah seraya menjadi ikutan, termasuklah gaya rambutnya yang pelbagai -diwarnakan dengan pelbagai rona bold bagi mewujudkan kelainan.
Justeru, untuk mengembalikan memori lampau tentang trend rambut kegilaan ramai anak remaja era muzik punk, Hayley Williams tampil memberi kejutan terutama buat para peminatnya dengan pelancaran pewarna rambut sementara yang ditawarkan dalam 10 warna ikonik dipanggil Poser Paste.
Berfungsi seperti mekap untuk rambut, ia boleh dipakai dan kemudian dicuci dengan cara ringkas menggunakan syampu semudah ABC!
Secara amnya, Poser Paste adalah koleksi pewarna rambut yang dikeluarkan di bawah jenama GoodDyeYoung. Ia merupakan sebuah jenama yang dibangunkan oleh tukang gaya rambut bernama Brian O’Connor iaitu individu menjadi tulang belakang dalam membentuk stail rambut Hayley sejak 2016 dulu.
Untuk pengetahuan semua, pewarna rambut sementara Poser Paste ada diedarkan menerusi platform atas talian Sephora.com dan dijual pada harga RM75 sebalang.
Jadi, rasanya tak adalah masalah untuk korang mewarna rambut suka-suka dengan Poser Paste ni! Lepas dah puas melawa, boleh terus cuci dan pakai balik bila-bila masa yang korang nak!