Bila berbicara tentang barang kemas, kita menggambarkan betapa mahalnya harga aksesori yang lazimnya diperbuat daripada logam bernilai seperti emas mahupun intan permata itu. Tetapi tahukah kamu, masih ada pilihan barang kemas mampu milik yang memiliki rekaan versatil seperti koleksi aksesori dari jenama Wanderlust + Co ini?
Setiap satunya dihiasi perincian yang eksentrik, kamu yang gemarkan gaya fesyen ranggi pasti lekas tertarik dengan rekaan-rekaan aksesori dari jenama yang dibangunkan anak Malaysia ini.
Jangan tak tahu, selebriti dan fashionista antarabangsa seperti Gigi Hadid, Olivia Culpo dan ramai lagi pernah menggayakan seleksi aksesori dari Wanderlust + Co tau!
Bersempena dengan sambutan ulang tahun mereka yang ke- 8, Wanderlust + Co tampil hebat dengan mengumumkan pelancaran gedung pop-up sulung mereka berlokasi di pusat membeli-belah One Utama.
Dalam masa yang sama, istimewa untuk menyambut ulang tahunnya, Wanderlust + Co juga bakal memperkenalkan koleksi yang dipanggil Birthstone Series. Setiap satunya dihiasi permata yang mempunyai rona mengikut bulan kelahiran dari Januari hingga ke Disember, bolehlah si pemakai melaram sakan untuk menyerlahkan lagi personaliti mereka secara individual yang dipamerkan menerusi rantai, gelang, cincin dan anting-anting.
Koleksi Birthstone Series yang sangat sesuai dijadikan bingkisan buat teman atau tersayang ini juga akan hadir dalam kotak pembungkusan cantik yang boleh dijadikan hisan menarik. Khabarnya ia akan mula dipasarkan sekitar pertengahan September ini, yang ditawarkan pada harga RM200 – RM400 setiap satu. Untuk keterangan lanjut, sila klik [wanderlustandco.com]
Alamat: Wanderlust + Co, Level 1 (New Wing), One Utama Shopping Centre ***Berhadapan La Senza