Kita semua mahukan kebahagian perkahwinan yang berkekalan. Namun ia tidak datang bergolek dengan senangnya, ia harus diusahakan dari kamu dan pasangan. Tidak boleh mengharapkan dari pihak yang satu sahaja.
Hari-hari yang mendatang merupakan satu peluang untuk anda dan pasangan bekerjasama dalam menjaga perhubungan yang sejak diikat pada lafaz perkahwinan.
Jika terdapat rasa sugul atau pudar dalam cinta anda, ambillah peluang untuk mengembalikan rasa bahagia dan gembira tidak kira anda baru atau sudah lama mendirikan rumah tangga.
Tinggalkan sekejap sosial media
Sudah acap kali diberi ingatan untuk leraikan sekejap tangan dan mata anda dari telefon pintar. Cuba beri tumpuan sepenuhnya pada pasangan ketika berada dirumah atau berdua-duaan. Inilah masanya untuk anda catch up tentang pasangan, aktiviti, perihal kerja dan mungkin masalah yang dihadapi. Dari anda pegang telefon lebih baik pegang tangan pasangan.

Luangkan masa bersama anak-anak
Anak-anak tanda pengikat kasih sayang yang terjalin antara anda dan si dia. Bila tiba hujung minggu cuba cadangkan destinasi percutian atau hidangkan sahaja juadah dari dapur. Biar masa ini untuk anda dan pasangan memainkan peranan yang baik sebagai ibu bapa. Masa keluarga bukan sahaja memperbaiki hubungan silaturahim bersama anak-anak tapi juga dengan pasangan. Menjadi pasangan yang baik juga mempunyai peranan ibu bapa yang bagus.

Dapatkan nasihat
Tidak setiap masa indah, jika anda dan pasangan terlibat dalam permasalahan segeralah berbincang dan mendapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman. Rujuk kepada ibu bapa atau insan yang anda percaya boleh membantu meleraikan masalah. Jangan sesekali memendam perasaan atau endahkan masalah yang dihadapi.

Asah menjadi baik
Keutamaan untuk menzahirkan rasa bahagia melalui perubahan dari sikap dan hati. Ubahlah sikap anda menjadi baik dan tidak lagi bersangka buruk. Percayalah anda akan merasai perubahan bukan sahaja pada diri anda, pasangan, rumah tangga, anak-anak serta orang sekeliling.
