Semua orang tidak pernah terlepas daripada kekurangan diri. Maklum sahajalah, sejak azali kita diajar bahawa dalam hidup ini tiada sesiapa pun yang sempurna. Namun bagi sesetengah orang, kecekalan hatinya belum lagi matang membuatkan diri sering berasa kecil apabila berhadapan dengan orang yang lebih gah. Persoalannya, perlukah kita malu dengan keadaan diri?
Bagi wanita umumnya, fizikal adalah segalanya tetapi lain pula pandangan enam orang wanita berjiwa kental ini yang memanfaatkan kecacatan kulit sebagai batu loncatan untuk terus bangkit daripada terus dihakimi masyarakat.
Untuk memberi inspirasi serta menyebarkan positiviti kepada semua, ini enam orang wanita paling berani menukar kemehan diri untuk menjadi sesuatu yang paling berharga.
#1 Isabella Fernandes
Pernah terperangkap dalam kebakaran yang berlaku di kediamannya pada usia 17 tahun, Isabella kini hidup dengan parut kritikal yang memenuhi bahagian lengan sebelah kanan hingga ke belakang badannya. Meskipun cita-citanya adalah untuk menjadi bintang televisyen, dirinya sering ditolak gara-gara memiliki kecacatan kulit yang boleh dianggap serius itu.
Disebabkan keberaniannya untuk menyuarakan pendapat agar diri kerdilnya turut didengari dan mempunyai hak dalam kalangan masyarakat, beliau kini berupakan model sambilan dan pernah muncul dalam beberapa platform media terkemuka seperti Vanity Fair dan Vogue Italia.
#2 Joanne Dion
Dalam dunia fesyen moden umumnya, ramai mendriskriminasi golongan minoriti. Seperti insan yang bernama Joanne Dion ini, dininya mahu menjadi seperti orang normal lain yang turut diterima tempat dalam kalangan masyarkat. Menurutnya, standard kecantikan yang dunia peragaan masa kini sepatutnya lebih terbuka… menilai bakat dan bukannya menerusi kecantikan fizikal semata. Oleh itu, sehabis baik dia mahu menjadi diri sendiri dan membuktikan saiz badan dan orang albino sepertinya juga boleh melakukannya!
#3 Maya Spencer-Berkely
Mempunyai penyakit kulit ganjil yang hanya berlaku pada seorang dari 500,000 penghuni di dunia ini, kulitnya begitu rapuh dan bisa cedera -terkoyak, luka dan melecet dengan hanya satu geseran ringan.
Apabila diajukan tentang positiviti tubuh, tanpa berfikir panjang dia lantas menjawab “Menjadi Selesa, menerima cela diri dan walau apapun yangberlaku pada tubuh… biarpun ia sangat menjijikkan dan menggelikan, tubuh itu adalah tubuh diri kita sendiri. Jagalah ia sebaik mungkin.”
#4 Polly Ellens
Fesyen dengan wajah model yang cantik tanpa cela tidak dapat dipisahkan. namun, ia tidak pernah menghalang model yang memiliki keadaan wajah yang dipenuhi tompok-tompok pigmentasi ini menjadi perhatian umum.
Menurutnya, sudah tiba masa untuk dunia kecantikan dan fesyen hari ini beralih kepada perubahan bagi memperkasa kaum wanita dengan menghentikan khidmat suntingan photoshop pada foto-foto model.
#5 Mariana Mendes
Sering diejek buruk, Mariana Mendes memiliki tompok hitam bekas tanda lahir yang agak lebar meliputi kawasan utama wajahnya iaitu sekitar kawasan tulang hidung hingga ke dahi dan sekitar penjuru mata.
Baru sahaja mencecah usia 25 tahun, dirinya yang berasal dari Brazil dan merupakan seorang pembantu jurugaya ini bijak menangani kelemahan diri, berani mengubah persepsi buruk orang terhadapnya dengan menjadi model. Cara ini setidaknya dapat mengubah tomahan negatif orang menjadi postif. Untuk pengetahuan semua, Mariana kini sudah dikenali ramai kerana fizikalnya yang unik.
#6 Beth Brice
Merupakan seorang penuntut di sebuah universiti di Manchester. Sering hidup dalam keseorangan, beliau tidak pernah lupa untuk menutup cela yang ada pada tubuh dengan berpakaian litup. Namun, ia bukanlah penghalang untuk dirinya menonjolkan diri kepada masyarakat kerana menurutnya lagi, maksud kecantikan itu baginya adalah apa yang ada di dalam -merangkumi personaliti, kebahagian, cinta dan penerimaan.
Pokoknya kalau kita yakin dengan diri kita, semuanya akan okay.
Semoga bermanfaat! ❤