Minggu lalu, heboh apabila sistem rangkaian Twitter bocor dan ternyata ramai pengguna terkesan dengan perkara itu di mana kebanyakan akaun mungkin terdedah kepada risiko digodam.
Biarpun menurut pihak Twitter sendiri tiada akaun yang terlibat (digodam), namun rata-ratanya dinasihatkan untuk menukar kata laluan masing-masing agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sehingga kini syarikat internet yang berpangkalan di San Francisco itu tidak menjelaskan jumlah kata laluan yang terjejas atau berapa lama masalah itu boleh menyebabkan data terdedah kepada pengintipan.
Ketua Pegawai Teknologi Twitter, Parag Agrawal di dalam satu kenyataan blog berkata, pihaknya meminta orang ramai lebih berhati-hati dan mempertimbangkan untuk mengubah kata laluan semua perkhidmatan yang menggunakan kata laluan sama.
“Kami cukup kesal dengan apa yang berlaku,” katanya.
Gangguan itu berlaku ketika sektor ini berdepan pengawasan ketat terhadap perlindungan data peribadi dalam talian, susulan skandal Cambridge Analytica yang menyaksikan maklumat puluhan juta pengguna Facebook digodam dan disalah-gunakan.