Anak perempuan kepada Chef Wan iaitu Serina Redzuawan bakal berdepan hukuman penjara selepas bekas suaminya, Gavin Edward O’luanaigh memfailkan notis tunjuk sebab berhubung pelanggatan perintah persetujuan bersama.
Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, memfailkan permohonan parte (sebelah pihak) pada 17 April baru-baru ini selepas Serina menerusi akaun Instagram telah bertindak memuat naik beberapa status tidak benar berkenaan dirinya.
Hal itu sebenarnya telah melanggar persetujuan bersama yang dieksibitkan pada 27 Julai tahun lalu.
Peguam Gavin, Datuk Zainul Rajal Abu Bakar memberitahu pada 19 Mac lalu, Serina memuat naik status di laman Instagram miliknya mendakwa Gavin cuba membuli dirinya sebagai ibu selepas tidak membenarkan dia berjumpa anaknya setiap hari sedangkan persetujuan bersama menetapkan responden hanya boleh berjumpa anaknya pada setiap hujung minggu.
Hari yang sama juga, Serina dengan cara yang sama turut menyatakan bekas suaminya itu bersekududukan hingga ditangkap khalwat sedangkan perkara itu adalah tidak benar.
“Pada 20 Mac, Serina memuat naik dua status yang memperlekeh dan memburukkan anak guam saya, dengan mendakwa anak guam saya cuba pisahkan dia dan anaknya di sekolah.
“Pada 21 Mac pula, Serina turut mendakwa Gavin menghalang anak-anak menghadiri kelas agama sedangkan kelas terbabit disediakan oleh pemohon sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Hakim Salehan Yatim menetapkan 21 Mei depan bagi mendapatkan kebenaran permohonan notis tunjuk sebab mengenai perkara itu selain turut membenarkan pemohon Gavin untuk tidak hadir pada tarikh terbabit.
Serina dan Gavin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.