Aduhai, ramai peminat mengeluh sebaik menyedari bahawa konsert bintang pop pujaan iaitu Bruno Mars yang dirangka bakal berlangsung 9 Mei ini rupanya jatuh pada hari yang sama pada hari mengundi Malaysia.
Tarikh mengundi itu baru sahaja diumumkan semalam oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah di mana, 28 April pula adalah merupakan hari penamaan calon.
Umumnya, tiket konsert Bruno Mars 24K Magic World Tour yang bakal diadakan di stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu telah habis dijual dalam masa 45 minit sekitar Ogos tahun lalu sebanyak 12,000 unit.
Menurut penganjur, orang ramai yang telah membeli tiket diminta bertenang dan sabar menunggu sehingga kenyataan muktamat dimaklumkan dalam masa terdekat ini.
“Terima kasih di atas semua mesej dan panggilan yang kami terima berkenaan percanggahan tarikh hari mengundi dan konsert Bruno Mars.
“Kepada semua pemegang tiket konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur, buat masa ini, konsert akan berlangsung seperti biasa. Makluman lanjut berkenaan konsert akan diumumkan dari masa ke masa,” tulis PR Worldwide di laman Facebook rasmi mereka semalam.
Untuk pengetahuan semua, ini bukanlah kali pertama hari mengundi bercanggah dengan tarikh konsert besar-besaran kerana sebelum ini, sebuah konsert yang menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular opera Itali, Andrea Bocelli turut bercanggah dengan hari mengundi ke-13 pada 5 Mei 2013.