Kedengaran agak mustahil tetapi itulah dakwaan seorang warga emas.
Menurutnya dia berjaya sembuh daripada penyakit diabetes dengan hanya mengamalkan makan kepingan coklat gelap dan anggur merah sejak dua tahun lalu.
Terry Kemp, 68, disahkan menghidap diabetes jenis 2 beberapa tahun lalu selepas berat badannya meningkat 101 kilogram (kg). Dia kemudian memilih corak pemakanan luar biasa apabila mengamalkan satu bar coklat yang mengandungi 85 peratus coklat gelap selain makan anggur merah setiap hari.
“Bayangkan, dalam tempoh dua tahun, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 19kg dan apa yang mengujakan apabila doktor memaklumkan bahawa saya telah bebas daripada diabetes. Saya tidak mahu memberi harapan palsu kepada pesakit diabetes lain tetapi corak pemakanan itu kelihatan amat sesuai untuk saya,” katanya.
Sebelum ini, makan lebih banyak buah, terutamanya blueberry, epal dan anggur boleh mengurangkan risiko diabetes jenis 2 menurut kajian British Medical Journal.
Diabetes Jenis 2 ialah sejenis keadaan kesihatan yang berpunca daripada gangguan metabolisme tubuh terhadap karbohidrat. Jika tidak di tangani dengan sempurna, ia boleh membentuk pelbagai jenis penyakit degeneratif dan menyebabkan kematian pramatang. Ia bukan sahaja dihidapi oleh mereka yang berusia, malah mereka yang berumur 20-an juga berisiko. Punca utamanya ialah pengambilan makanan karbohidrat terproses secara berlebihan. Usaha utama perlulah bertumpu pada gaya hidup holistik dengan mengamalkan corak pemakanan yang sihat untuk mengelakkan kekebalan insulin.