Untuk menjadi seseorang yang layak digelar fashionista, anda perlu bijak menggunakan kesinambungan item fesyen mengikut trend semasa. Biarpun tiada sebarang syarat yang diletakkan untuk mana-mana individu berfesyen, bagi lelaki dan wanita umunya, aksesori adalah pelengkap gaya yang wajib dipadankan bersama dengan pakaian.
Kasut, barang kemas, warna rambut, jenis tudung dan tas tangan adalah suatu kemestian bagi semua orang untuk mengekalkan momentum penampilan. Biarpun begitu, ramai orang sering terlupa akan elemen penggayaan kaca mata.
Sebagai individu yang hidap dalam suasana beriklim panas seperti di Malaysia ini, kaca mata hitam juga boleh dikelaskan sebagai aksesori wajib untuk menemani gaya harian anda. Untuk memberi idea, bingkai kaca mata hitam manakah yang paling “in” sekarang ini, Wanista senaraikan lima rekaan kaca mata terkini yang menjadi pilihan beberapa orang selebriti popular Hollywood.
#1 Lensa Segi Berstruktur
Lebih sesuai untuk individu yang memiliki bentuk rahang tajam seperti Matt Damon, umunya lelaki…ia akan buat para jejaka kelihatan lebih maskulin dan segak dengan pemakaian bingkai kaca mata hitam yang sebegini.
Lebih cantik andainya lensa kaca mata itu mempunyai cermin berwarna yang telap.
#2 Lensa Berpalang
Disisip dengan elemen geometri, bingkai kaca mata yang dipakai Cate Blanchett ini dilihat unik kerana mempunyai panel yang melintang di atas kedua belah lensa. Pasti sesuai untuk mencipta sinergi ranggi yang tampak eksklusif.
Hanya untuk mereka yang berani mencuba!
#3 Lensa Bulat
Sesuai dengan semua jenis bentuk wajah, kaca mata hitam yang ditemani rekaan lensa berbentuk bulat ini menerbitkan aura retro.
Seperti Charlie Theron, gayakan dengan apa sahaja pakaian kegemaran anda and you are good to go!
#4 Lensa “Onesie”
Rita Ora memang sentiasa mengikut perkembangan fesyen dan bijak mengolah item eksentrik untuk nampak berkelas apabila dipakainya.
Kaca mata ini mungkin kelihatan kurang sesuai dengan wajah berbentuk bulat kerana bingkainya yang berstruktur kukuh dan lebar sebegitu akan buat wajah kecil menjadi tidak seimbang.
Sesuai bagi mereka yang memiliki bentuk muka bujur dan panjang, sensasi bingkai kaca mata “onesie” ini berjaya menjadikan pakaian ‘biasa-biasa’ anda nampak berkelas serta-merta. Ia dipanggil “onesie” kerana panel bahagian atas hidung itu disambung terus untuk bercantum dengan kedua belah lensa.
#5 Sensasi Klasik!
Akan sentiasa menjadi kegemaran semua termasuklah ikon fesyen Chiara Ferragni, kaca mata berbingkai klasik sebegini bisa digayakan semua jenis bentuk muka.
Sesuai untuk gaya santai yang elegan, ia boleh dipakai pada bila-bila masa dan dimanja jua istimewa untuk sang pria dan gadis bersifat minimalis.
Dah tiba masanya untuk anda menukar gaya kaca mata hitam untuk kelihatan lebih anggun dan segak biarpun dalma persalinan yang ringkas. Selamat berkaca mata semuanya! ❤