Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi seseorang individu semakin menurun. Ia mungkin menjejaskan kehidupan harian individu dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan pelbagai lagi.
Kebanyakan kes kemurungan yang jika tidak dirawat dengan baik akan berakhir dengan tragedi yang tragik. Laporan menunjukkan antara 10% hingga 15% orang yang menghidap kemurungan yang teruk dan tidak dirawat mengambil keputusan untuk membunuh diri. Contoh paling jelas berlaku kepada penyanyi kumpulan Shinee, Jonghyun yang bertindak membunuh diri akibat kemurungan yang dialaminya selama ini.
“Aku merana dari dalam. Kemurungan yang aku hadapi telah memakan diri dan aku tak dapat lawan lagi.” – tulis Jonghyun dalam nota.
Jadi, bagaimana kita boleh mengenal individu yang mengalami kemurungan, apakah tanda-tanda jelas yang menunjukkan mereka sebenarnya menderita dan patut mendapatkan rawatan pakar?
#1 Masalah tidur
Jika ada orang yang disayangi mengadu tidak mendapat tidur secukupnya atau penat di siang hari akibat tidur berlebihan di malam, ini mungkin merupakan tanda amaran menunjukkan ada sesuatu yang kurang baik berlaku.
Satu lagi gangguan yang biasanya dikaitkan dengan kemurungan adalah hypersomnia, yang bertentangan dengan insomnia. Ia adalah keadaan di mana orang itu merasa sukar untuk berjaga sepanjang hari dan tidur berlebihan pada waktu malam.
#2 Langsung tidak bersemangat/putus asa
Keadaan di mana anda hilang minat dalam segala hal – kerja, kehidupan sosial, atau hidup secara umum malah paling teruk terhadap orang sekeliling, sehinggakan yang paling disayangi.
Sekiranya anda merasa putus asa atau seperti kosong, ini adalah masa yang baik untuk mendapatkan pertolongan. Jika anda merasa tidak berguna, tidak penting atau tidak bernilai, ini adalah isyarat keperluan untuk mendapatkan bantuan.
#3 Pemikiran negatif
Bila anda acapkali mengeluarkan kata-kata negatif pada diri sendiri, “Life sucks!”, “I’m ugly/fat/stupid!”, “I can’t do it!”, “I’m a failure!”, “I’m tired!”, “I’m going to kill myself!”.
IKLAN
Ini semua adalah contoh jenis pemikiran negatif yang mengiringi kemurungan. Mereka yang tertekan kehilangan kepercayaan diri, orang lain dan kehidupan.
#4 Keyakinan diri rendah
Keyakinan diri yang rendah menimbulkan kebimbangan, ketakutan dan kemurungan. Seseorang yang mempunyai harga diri yang rendah tidak menganggap dirinya setanding dengan orang-orang disekeliling sama ada secara fizikal atau intelektual.
Kajian mendapati individu yang gemuk adalah 25 peratus lebih cenderung mengalami kemurungan berbanding mereka yang tidak. Begitu juga dengan mereka yang kurang berat badan juga lebih cenderung mengalami kemurungan.
#5 Kesedihan yang berpanjangan
Sedih dan kecewa itu lumrah. Namun, sekiranya ia berlarutan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti seharian maka ia adalah satu masalah kesihatan.
Ketua Jabatan Psikiatri PPUM, Prof. Dr. Ahmad Hatim Sulaiman berkata, manusia mudah menjadi sedih apabila berhadapan dengan kesusahan atau semasa menghadapi kematian dan kegagalan, namun emosi yang dialami oleh mereka yang kemurungan berbeza dengan orang normal. Ini kerana, perasaan sedih tersebut menyebabkan perubahan dalam sesuatu pemikiran, perasaan, tingkah laku dan bagaimana mereka bertindak.
Jika anda atau orang tersayangi menderita kemurungan, sila segera dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.
Sama-sama kita bantu!