Kadang-kala apabila amarah terlalu menguasai diri, mata menjadi kabur dan hati pula menjadi buta. Kita akan bertindak mengikut hati seterusnya tanpa sedar sebenarnya tindakan itu meracun diri.
Masalah cinta dan rumah tangga umumnya adalah perkara yang peribadi bagi setiap orang namun, ada masanya kita menjadi buntu lalu mencari jalan penyelesaian mudah untuk membuka aib pasangan di media sosial. Walhal, itu adalah tindakan paling bodoh yang bisa dilakukan oleh seorang manusia. Lebih-lebih lagi untuk pasangan yang sudah berkahwin.
“Membuka maklumat tentang hal peribadi kepada umum adalah tanda seseorang itu tidak waras dan memiliki keperibadian yang tidak baik”
Menurut pakar, ini antara 8 perkara yang perlu dihindar daripada dikongsi di media sosial:-
#1 Jangan muat naik tentang apa yang berlaku di dalam bilik…
Itukan hal antara suami dan isteri. Jika anda bangga sekalipun, Islam melarang untuk bercerita tentang hal intim antara anda dengan pasangan… (apalagi memuat naik foto mesra di ranjang atau tatkala berada di atas katil bersama sambil bercumbuan) biarpun kepada kawan-kawan, ibu bapa, adik-beradik dan sesiapa sekalipun. Itu adalah dosa yang sia-sia.
Baik buruk hal yang berlaku di dalam ‘selimut’ adalah rahsia suami isteri yang perlu dijaga rapi.
#2 Maklumat penting tentang pasangan
Bagaimana jika ada orang berniat jahat atau berdendam dengan anda? Lazimnya penjenayah atau orang yang ada niat jahat ini akan menyerang kaum keluarga dan pasangan kita dahulu sebagai ugutan. Oleh itu pelihara segala maklumat peribadi tentang pasangan anda… sebagai contoh nombor plat kereta, foto rumah, check-in lokasi, pejabat pasangan dan maklumat-maklumat penting lain.
#3 Nak bermanja? Simpan sahajalah sendiri…
Penulis faham anda bangga memiliki suami yang pengasih, sering belanja anda makan di restoran mewah, belikan anda barang-barang cantik dan gemar juga bermanja (bercumbu dan merangkul mesra diri anda)… Tetapi itu adalah hal peribadi yang tak perlu dikongsikan kepada semua.
Jangan terlalu taksub untuk mencari perhatian dan likes pengikut di media sosial sehingga hal yang ‘geli-geli’ begitu pun hendak dikongsi dengan orang. Bukan semua orang suka lihat anda bahagia dan tak semua orang beruntung ada pasangan yang baik macam anda. Kasihanilah mereka…
#4 Foto pasangan yang tidak senonoh
Mungkin bagi anda, foto teman lelaki atau suami yang sedang tidur sambil air liur meleleh itu comel tetapi bagi dirinya? Sebelum muat naik foto-foto pasangan anda, sila bertanya dan minta izin dari mereka. Jika tidak, ini mungkin akan mengundang pergaduhan kelak.
#5 Mencaci pasangan di media sosial
Mungkin anda rasa anda betul lalu sanggup mencaci pasangan di media sosial sambil cuba memberitahu semua orang yang salah adalah dia dan bukannya anda. Jika itu yang anda lakukan, anda sebenarnya seolah membuka pintu untuk menjadikan keadaan lebih keruh dengan komen-komen dan buah fikiran negatif orang lain.
Itu adalah tindakan yang langsung tidak rasional kerana orang yang membaca cacian anda itu tidak mengetahui hal sebenar dan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak sahaja. Jika anda yang melenting lebih-lebih bermaksud anda yang salah dan bukannya pasangan.
#6 Hadiah mewah yang diberi pasangan
Anda beruntung jika pasangan anda mampu memberi anda kesenangan dan kebahagiaan material. Namun itu sebenarnya akan buat pengikut media sosial anda jadi dengki dan membeci pasangan mereka kerana tidak memewahkan mereka seperti pasangan anda.
Satu lagi masalah yang akan timbul adalah ia bisa mengundang penjenayah. So instafamous sekalian, watch out and stop showing off!
#7 Perasaan negatif tentang keluarga mertua
Semua orang mengalami perkara yang sama dan rasanya tidak ada wanita yang terlepas menghadapi isu dengan mertua. Ingat, mertua adalah seperti ibu dan bapa anda juga… baik buruk dia, dia sudah makan garam dulu daripada anda. Bersabar sahajalah sementara umur mereka masih ada di dunia ini dan penulis pasti anda juga tidak mahu menantu anda melayan buruk anda suatu hari nanti kan?
Berkongsi kata-kata negatif tentang mertua di media sosial akan mengeruhkan keadaan kerana orang lain akan mengadili. Jagalah juga hati pasangan kerana mertua yang anda kata-kata itu adalah ibu bapanya.
#8 Foto ultrasound & baby bump
Sudah menjadi kelaziman bagi orang masa kini untuk berkongsi foto ultrasound bayi serta menayang perut yang semakin membuncit (kononnya memberi gambaran kepada orang tentang kandungan anda semakin besar dan semakin dekat waktu kelahiran).
Nasihat penulis, jangan kongsi sesuatu yang belum pasti. Jika tiba-tiba keguguran dan tuhan tarik nikmat keseronokan itu? Apa kata orang nanti? Anda juga yang akan kesal kan…
Jadi, sebelum menekan butang “post” tarik nafas dan fikir sebaiknya kerana jika anda bercakap buruk tentang sesuatu, orang turut akan bersangka buruk terhadap anda nanti.
Selamat beramal! ❤