Kasut dan wanita memang sukar untuk dipisahkan. Ada setengah wanita amat memintai beg tangan sehingga sanggup mengumpul jumlah wang yang besar semata-mata untuk membeli beg tangan berjenama idaman hati. Namun, tidak kurang juga wanita yang gemar mengumpul kasut.
Seperti penulis, penulis lebih tertarik kepada kasut yang bersifat feminin seperti tumit tinggi kerana ia mampu membuatkan menampilan seseorang kelihatan jauh 10 kali ganda lebih gah berbanding pemakaian tumit rendah. Mungkin ini cumalah pendapat penulis kerana ternyata, setiap seorang daripada kita memiliki cita rasa fesyen yang tersendiri.
Namun, jika benar anda peminat tumit tinggi yang tegar, anda pasti pernah dengar akan nama Sophia Webster. Ini kerana, ia merupakan sebuah nama besar dalam bidang rekaan dan pembikinan kasut yang fokus kepada konsep ranggi dan feminin.
Jom Wanista kongsikan serba sedikit fakta menarik tentang Sophia Webster dan tumit tinggi rekaannya.
#1 Sophia Grace Webster mula melancarkan koleksi kasutnya sendiri pada September 2012
Mempunyai minat yang mendalam tentang fesyen terutamanya kasut dan aksesori wanita.
Menurut Sophia yang kini genap berusia 32 tahun, kebanyakan rekaannya adalah diinspirasikan daripada bumi Brazil yang dipenuhi warna-warni ceria serta elemen menyeronokkan.
#2 Sudah berkahwin pada 2014
Sophia bertemu dengan suaminya Bobby Stockley yang merupakan seorang Jutera Elektrik di sebuah kelab malam di Ibiza sebaik selepas dia tamat pengajian di Royal College of Art. Kini Bobby adalah Pengarah Urusan di bawah jenamanya.
#3 Menyifatkan kasut rekaannya sebagai “Kasut Gila”
Seperti yang pernah dikongsikan Sophia dalam sebuah temu bual, dia memang gemarkan rekaan kasut yang bersifat feminin, berwarna-warni dan ranggi.
Kata Sophia, “Ia akan membuatkan si pemakai serta-merta jadi gembira dan kelihatan cantik sebaik biarpun dalam keadaan yang sedang murung atau tertekan”.
#4 Banyak bekerjasama dengan nama-nama besar
Terdahulu sekitar 2015, Sophia pernah bekerjasama dengan Coca-Cola untuk menghasilkan tumit-tinggi dan beg kepit edisi terhad selain bekolaborasi dengan Barbie untuk menghasilkan koleksi kasut eksklusif untuk anak patung popular itu.
Paling terkini, Sophia tampil menguntai kerjasama dengan PUMA untuk hasilkan beberapa helaian pakaian sukan dan kasut khas buat wanita berjiwa eksentrik.
#5 Obses dengan rama-rama
Sudah terang lagi bersuluh, Sophia banyak mendapat perhatian dan kritikan membina daripada para peminta fesyen menerusi rekaan kasut dan beg tangan yang mengetengahkan motif rama-rama sebagai perincian utama.
Lebih menarik, kepak rama-rama yang disertakan dalam setiap satu koleksinya seolah realistik apabila material sayapnya timbul, dilekapkan pada bahagian belakang tumit kasut sekaligus menjadikannya eksklusif dan mempersona.
#6 Pernah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan
Pada tahun 2013, Sophia pernah merangkul British Fashion Award for Emerging Accessories Designer dan Vogue Fashion Fund award pada 2016.
#7 Belajar di kolej sama, tempat Jimmy Choo pernah menuntut dahulu
Sophia menyambung pengajian di Cordwainers’ Technical College, London College of Fashion iaitu tempat yang sama Datuk Jimmy Choo pernah menuntut sewaktu menimba ilmu tentang pembuatan kasut pada tahun 1983 dahulu.
#8 Ramai bintang Hollywood suka kasut rekaan Sophia Webster
Antara bintang yang pernah menggayakan sepatu tinggi rekaan Sophia Webster adalah Rihanna, Jennifer Lawrence, Kate Hudson, Sarah Jessica Parker dan Chloe Grace Moretz.