Ada ke yang pernah buat begini sebelum membeli telefon pintar di kedai?
Lain dengan lelaki ini yang nekad menggigit bateri telefon pintar jenama iPhone hanya untuk mengesahkan ketulenan aksesori peranti berkenaan.
Kejadian itu berlaku di sebuah gedung elektronik di China dan berjaya dirakam menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) yang berdekatan.
Tonton Video Bateri Telefon Meletup Selepas Digigit
Lelaki berkenaan pada awalnya dilihat sedang berdiri di kabinet kaca kiosk jualan sebelum secara tiba-tiba memasukkan bateri tersebut ke dalam mulut, lalu menggigitnya.
Menurut Taiwan News, lelaki berkenaan mahu menukar bateri telefon pintar iPhone miliknya yang sudah rosak kemudian bertindak sedemikian, sebelum letupan kecil sepantas kilat berlaku tanpa diduga namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Pihak berkuasa masih lagi menyiasat sama ada letupan itu adalah disebabkan bateri yang dijual tersebut sememangnya palsu mahupun ia terjadi kerana tindak balas gigitan yang dilakukan lelaki tersebut.
Beberapa bulan sudah, syarikat Apple di Korea Selatan terpalit dengan isu yang melibatkan pengeluaran iPhone tidak berkualiti apabila kebanyakan pengguna mengadu sistem operasi dalam telefon pintar jenama itu tidak berfungsi dengan baik disebabkan bateri. Sejurus itu, syarikat gergasi peranti berkenaan menawarkan penukaran bateri pada harga rendah sekitar RM115 iaitu jauh lebih murah daripada servis penukaran biasa.