Menurut kaji selidik oleh Pertubuhan Pelancongan Korea, trend kecantikan korea atau lebih dikenali K-Beauty dipengaruhi oleh fenomena K-Pop dan K-Drama yang permintaannya cukup tinggi di serata dunia.
Baca: Selain Kening Bersepah, Ini Trend Lain K-Beauty 2018 Bakal Menyinar
Jadi, setiap kali selebriti berkongsi rahsia penjagaan rejim kecantikan mereka, kita tanpa segan silu turut memasang telinga. Apa sahaja trend kecantikan di sana, kita turut sama mahu menyibuk apatah lagi mencubanya.
Dikenali sebagai top model di Korea Selatan dan watak Kim Bok Joo dalam drama Weightlifting Fairy, penulis menjangkakan produk kecantikan yang diamalkan oleh si cantik Lee Sung Kyung mungkin sesuatu yang merumitkan tetapi sangkaan ternyata meleset kerana wanita 27 tahun ini hanya menggunakan benda yang kita semua ada, cumanya bergantung kepada kerajinan masing-masing.
Menurut HerWorldPlus, Lee Sung Kyung mengatakan bahawa apa sahaja bentuk krim perlindungan matahari merupakan must-have item untuknya. Padanya memakai pelindung matahari adalah penting untuk mencapai kulit yang sihat dan bersih dari sebarang cela, sama ada berada di dalam atau luar bangunan.
“Satu krim pelindungan matahari yang baik adalah sangat penting, saya tidak pernah meninggalkan rumah tanpanya, walaupun ketika tiada sebarang jadual kerja,” terangnya si cantik ini.
Lebih-lebih lagi cuaca di Malaysia yang tidak menentu, panas dan lembap sepanjang tahun. Paling teruk kepanasan melampau boleh membawa risiko kepada kulit terjejas sehinggakan ke kanser kulit. Kami mengesyorkan Supergoop Everyday Sunscreen, teksturnya bebas minyak dan tidak melekit malah langsung tidak mencairkan solekan.
Apabila menggunakan pelindung matahari anda, jangan lupa leher, dada dan lengan anda juga!