Tonton drama memang seronok, tetapi tonton drama sambil mengunyah atau makan lagilah heaven. Setuju tak? Makan sambil menonton drama selalunya kombinasi yang terbaik.
Maksudnya, jika anda seorang penonton setia drama seperti penulis, diet biasanya hanyalah sekadar ‘rancangan’ semata-mata.
Apatah lagi apabila menonton drama yang mempunyai babak makan ataupun sekadar hidangan makanan, kita yang menonton ini memang tertelan air liur melihatnya. Betulkan?
Tonton babak makan satu hal tetapi kalau drama itu memang tentang makanan, itu satu masalah besar. Orang kata makanan boleh menyebabkan pergaduhan malah makanan juga mampu menyatukan kita bersama. Seperti drama-drama ini :
Let’s Eat 1 & 2
tvN menghasilkan bukan satu tetapi dua musim drama ‘Let’s Eat’. Dalam kedua-duanya, watak utama Gu Dae Young (Yoon Doo Joon) adalah seorang blogger makanan yang mempunyai stail dalam menulis blog, pada hakikatnya Gu Dae Young adalah ejen insurans yang sukakan makanan. Agar tidak kesepian, dia sentiasa menjamu jiran tertangga dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan.
https://www.youtube.com/watch?v=Nbs89XXD-vM
Drama ini mampu membunuh anda kerana setiap episod akan dibanjiri dengan pelbagai juadah makanan dari Korea sehinggalah ke Barat, malah paling menyakitkan hati apabila lagak mereka ala ‘food porn’ cukup membuatkan kita rasa terikut lapar.
King of Baking, Kim Tak Goo
Kim Tak Goo adalah anak sulung Goo Il Joong, presiden Samhwa Enterprise, legenda dalam industri membakar roti. Walaupun dia adalah seorang pembuat roti yang sangat berbakat dan seolah-olah ditakdirkan untuk menggantikan bapanya sebagai presiden, tetapi pelbagai tragedi menimpa malah memusnahkan impiannya. Penentuan Tak Goo untuk menjadi nombor satu dalam industri membakar roti mendorong dia untuk mengembangkan kariernya dari awal walaupun banyak ujian yang dihadapinya.
Apa yang menarik tentang drama ini adalah plotnya cukup kemas, pemilihan pelakon yang berkaliber dan juga babak makanan lebih-lebih lagi ketika membakar roti dan kek, membuatkan kita terasa mahu buat roti juga.
Warm and Cozy
Lee Jung-joo bekerja keras untuk terus hidup sehinggalah dia memulakan kehidupan baru di Pulau Jeju untuk melupakan segala masalah. Di sana, dia bertemu Baek Gun-Woo, seorang chef dan pemilik restoran ‘Warm and Cozy’, personaliti yang berbeza dengannya, pabila semakin rapat mula terbit rasa cinta antara satu sama lain.
Selain dihidangkan dengan pemandangan indah di Pulau Jeju, terdapat satu lagi faktor penarik iaitu setiap kali di akhir drama, watak chef Baek Gun-Woo akan berkongsi resepi masakan yang dimasak dalam episod itu, simple tetapi mudah difahami. – jangan lupa pen dan kertas untuk catit resepi.
Pasta
Satu lagi drama yang berkisarkan tentang makanan ialah Pasta. Pasta adalah kisah Seo Yoo Kyung, seorang pembantu dapur di restoran mewah La Sfera yang sudah dua tahun bekerja dengan harapan dinaikkan pangkat sebagai tukang masak. Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah dia bertemu dengan si bengis Choi Hyun-wook, seorang chef mempunyai sifat diskriminasi apabila memecat kesemua pekerja wanita yang bekerja di dapurnya tetapi tidak Yoo Kyung.
Selain plot dan para pelakon hebat, drama ini mempersembahkan pelbagai makanan Itali yang sedap dan mampu membuatkan anda terliur. Bayangkan sahaja spaghetti carbonara yang masih tengah panas, percikan api, bunyi bawang dipotong halus, cukup menyeksakan bukan?
Jewel in the Palace
Sebelum Winter Sonata, drama ini terlebih dahulu memasuki pasaran Malaysia. Jewel in the Palace adalah cerita legenda perantis dapur yang bekerja keras untuk menjadi seorang tukang masak diraja.
Drama ini memperkenalkan kita dengan masakan tradisional Korea, kita bukan sahaja menonton tetapi dapat mempelajari tentang asal usul malah rahsia resepi makanan yang dihidangkan. Jewel in the Palace merupakan kisah cemburu di antara pekerja biasa dan orang atasan istana, setiap episod dipersembahkan pelbagai juadah yang mampu membuatkan kita lapar.
Weightlifting Fairy Kim Bok Joo
Weightyifting Kim Bok-joo adalah drama romantik komedi sukan inspirasi kehidupan pemenang pingat emas Olimpik Jang Mi-ran.
Walaupun bukan bertema makanan tetapi setiap hidangan yang ditunjukkan memang akan buat kita rasa lapar. Kim Bok Joo dan krew “swag”nya suka menikmati hidangan yang enak, tetapi highlight adalah restoran ayam goreng milik bapanya yang mampu menggugat diet. Pencinta ayam goreng tidak boleh terlepas siri ini yang penuh dengan makanan.
Alahai tiba-tiba rasa lapar pula….