Sebelum namanya disebut-sebut sebagai tunangan kepada Putera Harry, ternyata Meghan Markle cumalah insan biasa yang hidupnya tidak pernah lari daripada rutin harian seorang selebriti yang sibuk.
Beliau mula dikenali sejak disunting untuk membintangi drama bersiri hangat berjudul “Suits” sekitar 2011 yang memegang watak sebagai seorang wanita bernama Rachel Zane.
Watak tersebut ternyata sering menjadi topik bualan orang kerana wanita bernama Rachel yang digandingkan bersama Mike (Micheal Ross) yang dilakonkan aktor kacak Patrick J. Adams adakalanya ‘melampau’ kerana terdapat banyak babak romantis serta aksi di ranjang pasangan itu turut ditayang dalam episod-episod Suits. Opps!
Umunya, ramai beranggapan bahawa Meghan Markle adalah seorang wanita yang ‘biasa-biasa’ bahkan wajahnya tidaklah begitu rupawan seperti mendiang bakal ibu mertuanya, Puteri Diana mahupun bakal kakak iparnya, Kate Middleton. Walau bagaimanapun, ternyata beliaulah yang paling cantik jika hendak dibandingkan dengan bekas-bekas teman wanita Putera Harry yang terdahulu seperti Catherine Ommanney dan Chelsy Davy.
Meski tidak jelita, Meghan mempunyai senyuman manis serta sifat yang lemah-lembut. Bukan itu sahaja, bentuk badannya yang mengiurkan itu juga sering sahaja menjadi perhatian lensa kamera… Senang kata, bisa membuatkan ramai wanita lain iri hati!
Senaman Yoga
Pada usia 36 tahun, Meghan menjelaskan bahawa salah satu cara beliau menjaga bentuk badan dari dahulu adalah dengan melakukan rutin senaman yoga. Menurut temu ramahnya bersama Best Health, Meghan berkongsi cerita bahawa ibunya adalah seorang jurulatih yoga dan dari situlah beliau mula berjinak-jinak dengan senaman itu dan minat untuk menjadikannya sebagai hobi. Kata Meghan, yoga mampu meningkatkan daya fleksibiliti serta kekuatan otot sendi sekaligus menstabilkan emosi seseorang untuk jadi gembira, tingkat daya fokus mental, merelakskan tubuh serta bantu mendapatkan tidur yang lebih lena.
Elak Makanan Yang Buat Diri Jadi Pemalas
Menurut Meghan beliau akan cuba amalkan pemakanan ‘bersih’. “Saya akan cuba elak makanan yang boleh buat diri jadi ‘lembap’ dan pemalas,” katanya. Lazimnya, Meghan akan mengambil banyak sumber ikan dan sayuran tetapi biarpun begitu, beliau juga masih seorang individu yang gemar makan dan mencuba makanan baru.
Makan Makanan Yang Dimasak Sendiri
“Saya suka masak, jadi setiap hari saya akan memasak sesuatu walaupun hanya membuat hidangan ringkas yang kemudian boleh saya simpan di dalam peti sejuk beku untuk dipanaskan kembali kemudian,” jelas Meghan.
Apa yang paling penting menurut Meghan adalah, makanan yang diambil haruslah bersifat segar dan itu adalah lebih baik daripada makan di luar.
Ajar Diri Untuk Banyakan Relaks
Sibuk memang sibuk tetapi Meghan banyak memberi ruang kepada diri untuk relaks sekali sekala. Lakukan perkara kegemaran seperti menonton TV, bergurau dan bermanja dengan haiwan pleiharaan atau nikmati segelas minuman panas beraroma, ia pasti membantu untuk seseorang menikmati gaya hidup sihat yang sejahtera.
Berlari!
Sejak semakin berumur, Meghan mengaku yang dia agak sukar untuk berlari tangkas di luar. Tetapi dahulu, selain melakukan senaman yoga, berlari atau berjoging adalah antara aktiviti riadah kegemarannya agar bentuk badan idaman dapat dikekalkan secara konsisten.