Senyap-senyap ubi berisi. Rupanya baru-baru ini, kapten pasukan kriket kebangsaan India, Virat Kohli dan bintang Bollywood ternama yang merupakan antara selebriti yang mendapat bayaran tertinggi di India iaitu Anushka Sharma telah pun mengikat tali perkahwinan secara tertutup di Itali, Isnin (11/12/2017) lalu.
Menurut sumber, upacara perkahwinan mereka berlangsung di sebuah resort mewah dipanggil Borgo Finochhieto yang dikelilingi tumbuhan hijau dan dalam masa yang sama ia masih memanfaatkan adat resam upacara perkahwinan India dengan penuh tradisi.
Khas buat sanak-saudara lain bagi kedua-dua belah pihak, mereka khabarnya bakal menganjurkan resepsi berhampiran kediaman keluarga Virat di New Delhi pada 21 Disember akan datang. Manakala, satu lagi acara resepsi akan diadakan di Mumbai, istimewa buat rakan-rakan artis Anushka serta teman-teman Kriket Virat.
Antara tetamu yang disenarai untuk mendapat undangan tersebut adalah Shah Rukh Khan, Aamir Khan bersama Katrina Kaif dan ramai lagi.
TERKINI
Pasangan dua sejoli itu katanya kini sudahpun berangkat ke Afrika Selatan di mana mereka akan membuat persediaan untuk menyambut tahun baru di sana buat julung kalinya sebagai suami isteri, sekaligus menghabiskan masa bersama untuk berbulan madu.
menurut sumber lagi, sebaik pulang daripada berbulan madu itu nanti, Anushka akan memulakan penggambaran sebuah filem hindi arahan Anand L Rai di Mumbai yang akan digandingkan bersama hero Shah Rukh Khan.
Untuk pengetahuan semua, seperti yang dilaporkan Finapp, anggaran nilai kekayaan pasangan elit Virat dan Anushka adalah $95 Juta dolar Amerika.