Mendapat sambutan sejak hari pertama dilancarakan beberapa bulan lalu, Fenty Beauty by Rihanna kini bakal tampil dengan gincu merah pertama pastinya sesuai untuk semua jenis tona kulit termasuk bagi mereka yang berkulit hitam manis!
Menyedari rata-rata pengguna kulit gelap sukar untuk mencari dan mendapatkan gincu merah yang bersesuaian, Rihanna komited mahu membekalkan kosmetik terbaik buat para peminat rangkaian Fenty.
Sebuah foto yang memperlihatkan imej gincu merah Fenty Beauty telah dimuat naik menerusi Instagram rasmi jenama itu dan khabarnya ia diberi nama Liquid Lip Paint dalam rona “Stunna”. Pada kapsyen foto itu, turut disertakan bersama hashtag #ONEREDFORALL sekaligus menguatkan lagi pendapat bahawa gincu yang berasaskan warna merah menyala ini sesuai untuk semua jenis warna kulit daripada yang paling cerah hinggalah kepada paling gelap.
Akan mula dipasarkan sekitar 23 November depan, rona ini pasti memukau untuk dipakai ketika sambutan Hari Natal nanti! Namun begitu, belum ada sebarang maklumat lanjut sama ada mengenai formula gincu Liquid Lip Paint ini dan apakah ia juga akan hadir dalam beberapa siri warna yang lain selain “Stunna”.
Pertengahan Oktober lalu, Fenty Beauty by Rihanna baru sahaja memperkenalkan koleksi Galaxy Collection terdiri daripada gincu, palet pembayang mata serta pengilat bibir. Lebih menarik apabila ia dibungkuskan dalam bekas pembungkusan unik lagi sensasi yang diinspirasikan daripada konsep fantasi galaksi bima sakti.
Kesemua produk Fenty Beauty by Rihanna ada dijual di cawangan Sephora sekitar Malaysia termasuklah gedung atas talian Sephora Malaysia di [www.sephora.my/brands/fenty-beauty].