Dua minggu lalu, tersebar desas-desus mengatakan bahawa legasi pembekal permainan gergasi Toys R Us mempunyai hutang bernilai berbillion dollar Amerika (menjangkau RM20 billion) dan sedang berada dalam keadaan “nyawa-nyawa ikan”.
Namun ternyata berita itu benar selepas Toys R Us Inc telah pun disahkan muflis pada Isnin lalu.
Yang menjadi tanda tanya, apakah cawangan Toy R Us di Malaysia juga akan ditutup kerana terkesan dengan krisis ini?
New Straits Times ada mendapatkan maklum balas daripada beberapa pekerja Toy R Us di Malaysia. Jelas seorang penyelia yang mahu dikenali dengan nama Qeela, “Sehingga kini kami masih belum mendapat sebarang notis berhenti atau menerima sebarang dakwaan sahih bahawa cawangan kami akan ditutup, oleh itu saya akan terus bekerja seperti biasa”.
Mengulas lanjut, seorang lagi pekerja bernama Linda berkata, “Saya rasa dakwaan yang mengatakan kesemua cawangan Toy R Us Malaysia akan ditutup berikutan kebankrupan syarikat induk di Amerika itu cumalah khabar angin semata-mata. Jika benar, sudah tentu kami sudah mendapat notis dan perlu mencari peluang pekerjaan baru ketika ini. Kami masih menunggu pengesahan daripada pihak pengurusan.
“Adalah tidak adil bagi mereka untuk tidak memberitahu kami apa-apa jika berita itu benar,” tambahnya.
Biarpun begitu, Toy R Us Asia tampil dengan kenyataan mengesahkan bahawa syarikatnya adalah entiti undang-undang yang berasingan bahkan disokong kewangan persendirian, berbeza dari Toys R Us Inc.
“Toys R Us (Asia) masih akan terus beroperasi dan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan seperti biasa. Kami adalah syarikat yang membaiayai kos operasi kami sendiri dan masih mampu berkembang serta melabur dalam daerah ini,” jelas Presiden Toys R Us Asia, Andre Javes.