Ibu bapa mana yang tak gembira apabila bayinya sudah mula memanggil dan berkata “papa” atau “mama”. Kebiasaannya, itu adalah perkataan pertama disebutkan bayi kerana ia merupakan perkataan yang merangkumi sebutan berganda seperti “pa-pa” atau “ma-ma” bahkan, ia mudah diingati.
Proses bercakap perlulah didedahkan sejak lahir lagi malah ini juga bisa merangsang interaksi positif antara si ibu dengan bayi mahupun si bapa dengan bayi. Dalam masa yang sama, langkah ini juga boleh mengajar dan memberi pemahaman tentang fungsi suara dan bunyi terhadap bayi tersebut.
Kanak-kanak normal seharusnya sudah boleh menyebut dan mengenal beberapa kosa kata lazim serta tahu membina ayat pada usia 2 tahun. Jika lebih awal, itu adalah bonus dan anak anda sememangnya ‘cepat tangkap’!
Jadi apa yang ibu bapa perlu lakukan agar bayi lekas bercakap?
0 – 3 Bulan
Bayi hanya boleh mendengar suara di sekelilingnya. Dia mungkin akan ketawa atau mengajuk kata-kata yang didengarnya dan ini adalah masa yang tepat untuk anda ajarnya beberapa jenis bunyi.
- Nyanyikan lagu kepadanya. Lebih baik andai si ibu sudah terbiasa menyanyikan lagu untuk bayi sejak dia berada dalam perut lagi.
- Cuba berkomunikasi dengannya. Biarpun dia tidak bisa membalas, tetapi bayi suka mendengar suara anda bahkan cuba juga untuk berkomunikasi dengan orang lain dihadapannya. Dari situ dia akan belajar dan terbiasa mendengar perkataan yang disebut ibunya, dalam masa yang sama… belajar kenal orang lain juga!
- Biarkan bayi berbual dengan dirinya sendiri. Bayi perlukan masa bersendirian agar dia boleh bersuara tanpa diganggu sebarang bunyian lain seperti radio mahupun TV.
3 – 6 Bulan
Bayi anda sedang belajar cara manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Bantu bayi bercakap bila:-
- Dekatkan bayi dengan anda supaya dia melihat terus ke dalam mata anda.
- Cakap sambil senyum kepadanya.
- Bila bayi anda mengomel, cuba tiru suara omelannya.
- Jika bayi meniru suara anda, ulang semula bunyi atau perkataan tersebut.
6 – 9 Bulan
Bayi akan mula bermain dengan bunyi. Ini termasuklah perkataan seperti “baba” atau “dada”. Bayi akan tersenyum bila dengar suara yang menarik perhatiannya, menangis bila melihat sesuatu yang menakutkan atau ketika dengar ibu bapanya meninggikan suara. Ajar mereka untuk faham beberapa perkataan bila:-
- Bermain “Cak-Cak”. Pegang anggota tubuhnya seperti tangan atau kaki untuk bergerak mengikut ritma. Contoh: Bila bermain “Cak-Cak” gerakan sekali tangannya -menutup mata dan membuka mata.
- Berikan dia permainan sambil menerangkan ciri permainan tersebut. Contoh: Wahhh lembutnya bulu harimau ni… Bulu dia warna oren.
- Letak bayi di hadapan cermin supaya dia dapat melihat dirinya sendiri sambil bertanya “Siapa tu?” Jika bayi tak beri respon, sebut namanya.
- Tanya soalan pada bayi, seperti “Mana kucing?”. Jika bayi tak beri respon, tunjuk dia kucing tersebut sambil kata “Tu kucing!”
9 – 12 Bulan
Bayi sudah mula faham perkataan mudah. Dia akan berhenti bila anda kata “jangan” atau “no-no”. Bila orang tanya, “Mana mama?”, dia akan mula mencari anda. Dia akan menunding jari kepada benda yang menarik perhatiannya, membuat bunyi dan menggunakan pergerakan tubuh untuk ‘beritahu’ anda kehendaknya.
Jika ajarnya sesuatu yang baru, cuba sebut apa yang dilakukan sambil melakukan perbuatan itu, Contoh: Lambaikan tangan sambil sebut “bye-bye” atau sebut “salam” sambil bersalaman dengannya.
12 – 15 bulan
Saat ini, bayi sudah boleh mengenal dan menyebut sekurang-kurangnya 25 jenis perkataan. Walaupun ayat yang disebutnya tidak lengkap, tetapi dia boleh berkomunikasi dengan menunjukan pergerakan anggota serta menunding pada objek jika dia mahukannya. Perkataan yang disebutnya juga mungkin pelat. Bantu anak anda untuk perbetulkan sebutannya.
- Bercerita kepadanya mengenai barang-barang yang ada di dalam rumah seperti “cawan”, “pinggan”, “TV”, “Bola”.
- Tanya soalan merujuk kepada buku yang anda beri padanya. “Ini apa?”, “Apa warna buah epal ni?”.
- Tepuk tangan dan sorak jika anak berjaya jawab soalan dengan betul. Cakap tentang perkara yang dilihatnya, “Wahhh besarnya kucing tu, warna putih, bulu dia tebal, ekor dia panjang.”
- Beri pilihan setiap kali anda mahu mengajaknya berkomunikasi, “Nak susu ke nak jus?”, “Nak pakai seluar panjang ke seluar pendek hari ni?”.
- Bina ayat daripada perkataan yang disebutnya, Jika anak sebut “Ball” anda sambung “Ye… ball! A big, red ball!”.
15 – 18 Bulan
Dia masih berusaha perbetulkan bait ayat yang disebut dan akan menarik tangan anda untuk mendapatkannya sesuatu. Ketika ini dia sudah tahu kemahuannya.
- Cuba tanya “Tunjuk mana hidung kamu?” sambil tangan anda juga tunjuk kepada hidung anda. Ajar dia mengenal anggota badan serta jantina orang disekelilingnya. Ajar dia untuk faham perbezaan yang dimiliki lelaki dan perempuan. Contoh: Terangkan bahawa anda memiliki rambut panjang kerana anda seorang perempuan, begitu juga dengan anak anda (jika dia perempuan).
- Cuba sorok permainan kegemarannya, dan buat-buat cari bersama. Jika dia menjumpainya, sorak dan beri penghargaan padanya. Banyakan luah motivasi positif seperti, “Pandainya dia!” atau “Good girl!”.
- Bila dia menunding ke arah sesuatu, tanya soalan kepadanya seperti “Ye, apa tu?” atau bila dia beri anda objek sila ucap “Terima Kasih!”.
18 Bulan – 2 Tahun
Anak anda sudah tahu mengikut arahan dan pandai membina ayat. Bantu dia tingkatkan kemahiran berkomunikasi dengan:-
- Minta dia bantu kamu lakukan kerja rumah yang mudah. Seperti siram bunga, kemas permainan selepas bermain atau ambilkan barang.
- Ajar dia lagu-lagu yang mudah. Bacakannya buku cerita dan minta dia untuk cerita dan tunjukan tentang apa yang dilihatnya.
- Galak anak untuk bercakap dengan kanak-kanak lain serta kenalan rapat yang lebih tua darinya agar keyakinan diri dapat dibina.
- Ajak dia bermain secara ‘olok-olok’. Contoh: Main jual beli makanan, main masak-masak, menyuap patung umpama patung itu adalah seorang bayi atau konon-konon berkomunikasi dengannya menggunakan telefon.