Berita buruk untuk semua peminat Bruno Mars kerana menurut laporan The Star, tiket konsert yang berharga dari RM398 hingga RM888 yang mula dijual pada pukul 10 pagi telah habis dalam tempoh hanya 45 minit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam, R. Para yang mewakili pihak penganjur konsert iaitu PR Woldwide berkata, dia terkejut dengan sambutan jualan tiket berkenaan.
“Kami menjangkakan tiket akan habis terjual dalam masa satu hari bukan dalam masa 45 minit. Ia adalah petunjuk yang baik untuk muzik dan industri konsert, ia akan memberi impak yang positif kepada industri pelancongan seperti hotel yang akan penuh dengan tempahan,” katanya.
Malah, Pihak PR Worldwide juga telah mengeluaran kenyataan menerusi laman Facebook sebaik sahaja tiket habis terjual.
Dalam pada itu, R. Para juga memberi pesanan kepada peminat supaya tidak membeli tiket daripada ulat tiket.
“Untuk peminat yang tidak berjaya membeli tiket lagi, jangan membeli daripada ulat tiket atau laman sesawang yang bukan daripada pihak kami. Walaupun sebelum kaunter tiket dibuka, ada yang memberitahu mereka sudah mempunyai tiket yang palsu!” katanya.