Siapa yang tidak kenal dengan bintang cantik dari seberang yang selalu muncul dalam iklan syampu Pantene ini. Raline Shah yang merupakan seorang model dan pelakon terkenal yang turut membintangi watak utama bersama Laudya Cynthia Bella dalam “Syurga Yang Tak Dirindukan” kini merupakan Pesuruhjaya Bebas untuk syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Indonesia yang baharu.
Berita itu diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes menerusi Instagramnya semalam.
“Pengarah (Komisaris Independen) baharu kami di AirAsia Indonesia, Raline Shah. Bijak, kreatif dan merendah diri. Jawatan yang sudah bersedia untuk syarikat kami di IPO,” tulis Tony.
Biarpun begitu, Tony masih belum menerangkan secara terperinci berkenaan rangka kerja jawatan yang dipegang Raline dalam syarikat gergasi itu.
Raline dilahirkan di Jakarta pada 4 Mac 1984 dan menetap di Medan, Indonesia.
Pada tahun 2008, Raline mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik Putri Indonesia.
Raline merupakan graduan Sains Politik dan Komunikasi & Media Baru dari National University of Singapore (NUS).
Sebelum ini orang selalu beranggapan bahawa wajahnya saling tak tumpah memiliki iras ikon wanita kegemaran semua iaitu Neelofa serta supermodel terkemuka Miranda Kerr.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, Raline memiliki nilai yang diperlukan syarikat itu untuk meletakkan mereka di hadapan.
“Dia seorang yang berbakat, muda dan mampu berdikari. Saya yakin dia boleh menawarkan perspektif yang lebih segar untuk pasaran Indonesia.
“AirAsia sentiasa berfikiran luar kotak. Jika ada yang hairan dengan keputusan kami, langkah sebegini sebenarnya yang menjadi kami sentiasa relevan dan berada di hadapan pesaing-pesaing lain,” katanya.