Sejak akhir-akhir ini, kita banyak mendengar tentang berita kematian mengejut seperti bunuh diri. Berita seperti ini sememangnya meruntun hati dan kita seringkali tertanya “Apakah yang mendorong mangsa berbuat demikian?” atau “Apakah masalah yang menghantui fikiran mangsa sehingga dia sanggup untuk mengambil nyawanya sendiri?”.
Walaupun kita tidak mungkin tahu cerita sebenar di sebalik mengapa mangsa membuat keputusan begitu namun secara umumnya, ramai boleh mengagak bahawa ia disebabkan penyakit kemurungan ataupun dikenali sebagai “Major depression”.
Apakah itu penyakit kemurungan?
Penyakit kemurungan merupakan penyakit yang melibatkan perasaan sedih atau murung. Namun berbeza daripada perasaan sedih biasa kerana bagi mereka yang mengalaminya, perasaan sedih atau murung ini berpanjangan. Pada masa yang sama, mereka juga seringkali mempunyai perasaan terlalu rendah diri dan sering merasakan diri mereka bersalah dan berdosa dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Perasaan murung ini hadir dalam diri mereka pada setiap waktu sepanjang hari dan boleh berlarutan sehingga berminggu-minggu. Ini berbeza dengan perasaan sedih biasa yang kita alami apabila sesuatu musibah berlaku yang akan hilang dalam masa yang singkat setelah musibah itu berlalu.
Baca: [ Tips ] Dilanda Kemurungan? Kami Tahu Punca, Simpton Dan Cara Atasi
Apa kaitan kemurungan dengan dunia hiburan?
Selebriti – mereka punya segalanya, nama, penampilan memukau, kemasyuran, wang tetapi pada dasarnya mereka juga seperti kita manusia biasa. Dan mereka juga tidak dapat lari daripada masalah sehingga menyebabkan kemurungan dasyat.
Walau topik depression agak sensitif tetapi beberapa selebriti ini sudi berkongsi cerita bagaimana mereka menghadapinya.
Bae Suzy
Di mata peminat, dia miliki “kehidupan yang cukup sempurna” – kecantikan, kemasyuran, wang dan cinta (kekasih kepada Lee Minho). Tetapi siapa sangka pelakon ini sebenarnya mengalami kemurungan.
“Saya mempunyai kemurungan dan saya tidak memberitahu sesiapa pada ketika itu. Bayangkan saya sedang berbual dengan kawan, ketawa dengan setiap jenaka yang dilakukan dan secara tiba-tiba saya mula menangis memikirkan kehidupan yang dialami.”
G-Dragon
Penerbit, penulis lagu, usahawan, ikon fesyen – ada apa-apa lagi yang tidak boleh dilakukan oleh G-Dragon? Tetapi di dalam semua kegembiraan itu, dia masih seorang pemuda yang cukup sentimental.
GD memberitahu selepas isu lagu “Heart Breaker” yang dilaporkan plagiarisma, dia mengelak dengan semua orang, termasuklah ibu bapa dan kawan rapat. Dia hidup secara berasingan, setiap hari bersendirian dan bersedih.
“Saya langsung tidak melakukan apa-apa, saya merasakan seperti seorang penjenayah. Saya sangat tertekan pada ketika itu.”
BTS Suga
BTS Suga mungkin merupakan salah satu selebriti berpengaruh di Korea Selatan tetapi tahukah anda bahawa dia bergelut dengan kemurungan sejak sebelum debut lagi.
Dia menjelaskan bagaimana fizikalnya sebelum debut yang agak ‘besar’ (plus size) dan dia bekerja keras dengan bersenam untuk mengurangkan berat badan. Tetapi selepas mengalami kecederaan bahu, doktor memberitahunya supaya berhenti bersenam, hal ini membuatkan dia rasa kecewa.
SNSD Taeyeon
Setiap orang punya cara menghadapi tekanan. Dan Taeyeon mendedahkan bahawa dia menghilangkan tekanan dengan menindik telinga.
IKLAN
“Saya mula tindik telinga sejak menjadi pelatih lagi. Kerana kerja saya menghadapi tekanan tetapi lagi terseksa apabila saya langsung tidak ada sebarang kerja (jadual) dan hanya berehat semata-mata.
Keadaan Taeyeon bertambah teruk sehingga salah seorang ahli SNSD, Sunny berharap Taeyeon pulih daripada kemurungan.
“Saya mahu Taeyeon berhenti mendengar muzik sedih dan berkongsi setiap kesedihan bersama-sama. Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang gembira dan melakukan apa sahaja perkara yang membuatkan Taeyeon ketawa.”
Park Bom
Dilaporkan Park Bom mengalami depression sejak sebelum debut lagi. Park Bom bercita-cita untuk menjadi bintang bola sepak tetapi segalanya musnah apabila salah seorang kawan baiknya maut ketika bermain bola sepak dengannya. Berita mengejutkan dan menyedihkan itu telah membuat Park Bom trauma sehingga menerima rawatan penjagaan psikiatri dan mengambil ubat amfetamin.
IU
Dia merupakan penyanyi hebat di Korea Selatan dan siapa sangka kerana kemasyuran dia merupakan mangsa gangguan mental. IU menyatakan bahawa dia mengalami bulimia dan menerima rawatan untuk pulih.
“Saya selalu berasa tidak yakin. Setiap kali merasa kosong saya akan mengisi kekosongan dengan makan. Saya makan sehingga saya terpaksa membuang semula.”
AOA Choa
Choa yang kini tidak lagi menjadi ahli AOA menjelaskan di Instagram bahawa dia mula mengurangkan beban kerjanya sekitar dua tahun yang lalu. Dia mengambil ubat-ubatan untuk insomnia dan kemurungan yang dihadapi disebabkan keletihan mental akibat tekanan kerja.
“Sebenarnya banyak kali saya menangis semasa mempromosi album. Saya tahu anda semua sukakan imej saya yang gembira dan ceria, sebenarnya saya tertekan tetapi terpaksa memberikan komitmen terbaik buat para peminat. Kejadian ini berlaku berulang kali, dan semakin saya memaksa diri, semakin sakit saya rasa.”
BigBang Top
Rapper penuh berkarisma Top dilaporkan telah mengalami anxiety dan depression pada tahun 2008. Peminat berspekulasi bahawa dia terlalu kuat bekerja dan sering keluar masuk hospital. Dan kini selepas disabitkan bersalah mengambil ganja, hal ini menguatkan lagi bertapa rapper kacak ini sememangnya memerlukan rawatan rapi untuk pulih. Top sendiri menjelaskan keadaan dialaminya dalam lagu ‘Loser’.
2AM Jinwoon
Benarlah perumpaan ‘money can’t buy happiness‘. Selepas melakukan tour di USA pada tahun 2010 dengan jayanya, Jinwoon menyatakan dia telah mengalami kemurungan. Dia tidak dapat tidur dengan baik atau berfungsi dengan betul untuk satu jangka masa yang lama. Dia sering menghabiskan masa bersendirian tanpa melakukan apa-apa.
Seharusnya, langkah awal perlu diambil dengan mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk.
Dalam hal ini, Allah telah mengungkapkan dalam al-Quran menerusi surah al- Baqarah ayat 155-156 yang membawa maksud:
“Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut terhadap musuh, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Sebagai orang Islam, menghadapi kesusahan dan tekanan kehidupan perlu diatur dengan tenang, rasional dan sabar dengan apa jua ketentuan Allah SWT di samping menjalani rawatan pemulihan.