Dua penyanyi tersohor Malaysia Siti Nordiana bersama Jaclyn Victor akhirnya tampil berduet untuk lagu terbaharu berjudul Nisan Cinta hasil garapan Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan.
Untuk pengetahuan semua, lagu yang dihasilkan di bawah label Raksasa Records ini terpilih untuk dijadikan runut lagu bagi teledrama 100 episod “Dendam Aurora”, menyaksikan gandingan lakonan hebat dari Nabila Huda dan Ungku Ismail Aziz.
Tonton Video Muzik Nisan Cinta -Siti Nordiana & Jaclyn Victor
Dibalut dengan ritma yang menyentuh perasaan sambil diiringi melodi piano serta gesekan biola, Jac dan Nana melantunkan setiap bait lirik dengan penuh penjiwaan bahkan ia dapat dirasa seolah menusuk ke dalam hati si pendengar.
Istimewa berentak waltz, jelas Jac dan Nana, proses rakaman lagu ini dilakukan secara berasingkan pada hari yang berlainan sebelum komposer memastikan mana-mana bahagian yang perlu dibaiki dan dibuat semula. Selepas semuanya teratur barulah ia digabungkan menjadi sebuah lagu lengkap.
Mengakui yang dia sangat berpuas hati dengan hasil lagu berkenaan, Jac menaruh keyakinan yang tinggi agar lagu tersebut mampu memikat hati pendengar sekaligus tersenarai dalam carta lagu terbaik.
Tonton Trailer Teledrama Dendam Aurora
Dendam Aurora akan mula ditayangkan di Astro Prima (105) dan Maya HD (135), setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula hari ini, 25 Julai 2017.
Khas buat para peminat, Nisan Cinta boleh mula dimuat turun menerusi iTunes, Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox.
Untuk keterangan lanjut, sila klik [wmm.lnk.to/nisancinta].