Kerana bosan dan mahu lari daripada kebiasaan, ada antara individu akan terpengaruh untuk memilih kek aiskrim bagi menggantikan kek span normal yang sering dijamah sewaktu sambutan Hari Jadi.
Namun begitu, alangkah mahalnya harga untuk sebiji kek aiskrim. Kadang-kadang harganya boleh mencapai ratusan ringgit tau?!
Untuk menjimatkan wang anda, di sini Wanista akan kongsikan resepi mudah cara membuat kek aiskrim seperti pro! Jom belajar…
Bahan:
- 2 perisa aiskrim kegemaran: Coklat/Vanila/Strawberi/Papermint/Karamel (dilembutkan)
- Kepingan biskut pilihan: Oreo/Digestive/Marie (dihancur kasar)
- Butter (dicairkan)
- 1 loyang tin
- Plastik pembalut makanan (alas loyang)
- Kekacang, bijirin atau hirisan coklat sebagai hiasan (ditabur atas kek)
Cara:
- Alas loyang dengan plastik jernih pembalut makanan terlebih dahulu supaya mudah mengeluarkan kek dari loyang kemudian. Letak tepi.
- Masukkan kepingan biskut pilihan ke dalam plastik kemudian ketuk ia hingga hancur kasar menggunakan objek keras seperti batu lesung atau penggelek doh. (sukatan biskut adalah mengikut kelebaran loyang serta lapisan kek yang anda mahukan. Lebih besar dan lebih banyak lapisan kek, lebih banyak biskut yang perlu dihancurkan).
- Alihkan biskut hancur/ serbuk biskut tersebut ke dalam mangkuk besar kemudian curah butter cair dan gaulkan kesemuanya sehingga sebati. Gaul sehingga serbuk biskut kelihatan berketul membentuk crumble.
- Ceduk sedikit campuran biskut tadi dan tabur ia menutupi dasar loyang… Tekan untuk mampatkan serbuk biskut berkenaan agar hasil kek nampak kemas dan cantik.
- Setelah itu, lapiskan ia dengan aiskrim pilihan tadi.
- Lakukan dalam keadaan berselang (aiskrim, serbuk biskut, aiskrim, serbuk biskut) sehingga ke permukaan loyang.
- Pastikan anda telah mengeluarkan aiskrim dari peti ais 10 minit lebih awal sebelum anda mula membuat kek ini. Jangan panik jika ais krim menjadi lembut kerana tekstur begitu memudahkan anda untuk meratakannya di atas lapisan serbuk biskut.
- Litup bahagian atas sekali dengan aiskrim sebelum taburkan kekacang, bijirin atau hirisan coklat untuk rasa rangup enak.
- Tutup loyang dengan plastik sebelum biarkan ia membeku dalam peti ais selama beberapa jam.
- Siap! Keluarkan kek aiskrim anda dari loyang dan nikmatinya sebagai pencuci mulut atau sebagai kek hari jadi bagi meraikan Hari Jadi tersayang!
Selamat mencuba!