Ramai yang agak bosan bila teman-teman mengajak untuk berbuka puasa di hotel-hotel. Sudahlah kadang kala sesak kerana harus merebut hidangan dengan tetamu lain, suasana juga agak hingar-bingar membuatkan anda tanpa berfikir panjang terus menolak tawaran tersebut bahkan berasa lebih selesa untuk berbuka secara tertutup di rumah bersama yang tercinta.
Babe, sebuah restoran pub yang juga dikenali sebagai Japas Fine Dining ini diasaskan oleh seorang Chef berkaliber yang pernah diiktiraf dengan Michelin Star, sering sahaja menjadi tumpuan pengujung dari serata daerah tempatan malah juga dari luar negara untuk menikmati hidangan gabungan ala Jepun.
Lebih menarik, sepanjang bulan Ramadhan ini, Babe mengambil langkah proaktif dengan menyediakan 12 hidangan menarik, istimewa dicipta untuk pengujung Muslim yang mahukan sesuatu kelainan -menikmati hidangan mewah yang dimasak segar oleh Chef Jeff Ramsay dalam olahan idea berseninya yang tersendiri.
Setiap satu hidangan mempunyai rasa fusion unik yang mampu membuat tekak anda gembira!
#1 Foiegras and Jackfruit [⭐️⭐️⭐️⭐️]
Untuk pengetahuan semua, penulis bukanlah pemakan organ binatang seperti hati dan limpa. Namun untuk hidangan rangup berperisa seperti popia berinti nangka yang kemudiannya dimakan bersama hati itik disira empuk ini umpama melahirkan satu rasa magis.
Langsung tidak berasa muak mahupun hanyir, ia bertepatan sebagai pembuka selera yang mampat dengan aneka perisa eksentrik.
#2 Onsen Chowder Warm [⭐️⭐️⭐️]
Ini mungkin bisa menjadi alternatif kepada bubur lambuk yang sering dibeli di bazar, rasanya menggabungkan keserasian isi kentang rebus yang dikisar halus kemudian dicampur dengan telur sehingga menjadi pes mousse enak.
Daun herba chives secara tidak langsung bantu mematikan rasa hanyir telur manakala atasnya ditabur pula dengan emping kelapa rangup untuk kenikmatan berganda.
#3 Laksa Injection Canapè [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
Hello peminat udang! Ini adalah antara hidangan ringan pembuka selera pilihan penulis. Cara makannya juga unik di mana udang perlu terlebih dahulu dimasuk ke dalam mulut sebelum memicit tiub yang berisi kuah laksa berkenaan. Rasanya memang enak tak terkata! Stail habis kan?
#4 Mango and Curry Sphere [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
Ajaibnya bebola yang kelihatan seperti kuning telur ini.
Sebaik disuap ke dalam mulut, bebola ini akan meletus sekaligus mengeluarkan jus berperisa mangga masam dan manis yang disertai rempah kari sebagai selingan menarik sebelum menikmati hidangan seterusnya!
#5 Crispy Chicken Terrine40+ [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
Hidangan ini diadaptasi dari teknik masakan Cina. Ia sebenarnya adalah lapisan kulit ayam rangup yang dilapis sehingga membentuk tekstur ketebalan yang diingini sebelum disira dengan sos barbeku istimewa. Sedapnya buat anda terpejam-pejam mata saat menikmati kerangupan yang diseri dengan rasa sos manis dan masin itu.
#6 Marinated Roast Kabayaki Ikan Keli [⭐️⭐️⭐️⭐️]
Buat anda yang tak lalu makan ikan keli kerana geli akan bentuk kepalanya itu, anda patut mencuba hidangan istimewa berasaskan kepingan ikan keli yang telah digril rangup ini. Teksturnya tak ubah seperti keropok lekor nipis. Ia kemudian dicicah bersama pes avokado berempah… Yum!
#7 Prawn and Curry Leaf Ice Cream [⭐️⭐️⭐️]
Ais krim selalunya berperisa buah-buahan tetapi lain pula konsep yang cuba diketengahkan Chef Jeff Ramsay di Babe Restaurant. Jom pekena ais krim savouri yang dirembes dengan aroma daun kari serta rasa udang ni. Mungkin sesuatu yang baru untuk dicuba?
#8 Manga Crab [⭐️⭐️⭐️]
Hidangan ini mungkin nampak menarik untuk sesetengah orang… namun penulis agak kurang senang dengannya.
Penulis hanya mampu memakan ketam begitu sahaja tanpa sos leleh berkenaan. Rasa sos agak kuat. Rasanya bersitrus… sedikit masam dan tidak berapa sedap dilidah penulis. Mungkin kerana digabung dengan ketumbar.
#9 Snow Crab Donburi with Sambal [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
OMG! Jika tadi penulis menolak hidangan ketamnya kerana sos yang agak kuat perisanya tetapi hidangan ketam yang ini tersangatlah buat hati penulis girang.
Persis hidangan Melayu, ia adalah nasi Jepun yang dicampur dengan isi ketam serta sambal!
#10 Smoked Chicken Percik [⭐️⭐️⭐️⭐️]
Hidangan istimewa untuk mereka yang sukakan ayam panggang! Terbaik!
#11 Stranbroke Farms Striploin with Japanese Sambal [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
Hidangan paling mewah dalam turutan menu buka puasa di Babe Restaurant ini, kiub daging berjus empuk ini dimasak atas dapur arang tahu? Tak nak cakap banyak, memang mengancam buat sesiapa yang suka hidangan ala Jepun dan Korea!
#12 Dinosaur Egg [⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️]
Pemanis mulut ini bagai mengundang anda untuk masuk ke dunia lain… Pecahkan cengkerang telur dan nantikan kejutan enak yang ada di dalamnya!
Harga yang ditawarkan untuk 12 menu hidangan buka puasa sensasi ini adalah RM300 seorang. Alami pengalaman indah sepanjang malam sambil melihat latar langit senja serta bangunan pencakar langit cantik saat menikmati sajian lima bintang.
Untuk keterangan lanjut berkenaan Babe, sila layari [babe.com.my] atau lawat Instagram rasmi Babe Gastro di [www.instagram.com/babegastro]. Tempoh promosi menu perayaan ini adalah sehingga 30 Jun depan.
Tempahan boleh di buat secara atas talian di [www.tableapp.com/partner/babe-damansara-heights] atau terus hubungi +603-2095 8599.
Alamat: 11th Floor, Work@Clearwater, Changkat Semantan, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.