Susulan insiden bom di Manchester Arena ketika konsert Ariana Grande, pihak berkuasa British serta merta menjalankan siasatan dan kini telah berjaya merakam imej pengebom nekad yang dikenali sebagai Salman Abedi.
Pihak polis percaya Salman Abedi berada di pusat beli-belah Arndale, pada Jumaat lalu bersama sebuah beg sandang dipercayai baharu dibelinya. Salman mengeluarkan wang AS$324 (RM1,390) daripada mesin juruwang automatik (ATM) untuk membeli-belah, iaitu tiga hari sebelum meletupkan bom yang membunuh 22 mangsa di lokasi konsert di Manchester.
Imej kualiti rendah yang diperoleh daripada televisyen litar tertutup itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam dan membawa beg sandang hitam dengan bahagian dalamnya berwarna biru terang.
Sebelum itu, New York Times menyiarkan gambar dipercayai diambil daripada siasatan, yang menunjukkan bahan bukti berwarna biru yang dikatakan diambil daripada beg jenama Karrimor yang dibawa oleh Salman.