Berita perkahwinan biasanya akan disambut dengan senyuman atau perasaan teruja. Namun lain pula terjadi di Jepun apabila dilaporkan Puteri Mako, cucu sulung Maharaja Akihito akan mengahwini rakan kolejnya telah membimbangkan kerajaan.
Laporan perkahwinan itu telah menimbulkan isu debat mengenai jumlah keluarga diraja yang semakin ‘mengecil’ kerana selepas berkahwin, Puteri Mako akan menjalani kehidupan harian sebagai rakyat biasa.
Pada Ogos lalu, Maharaja Akihito, 83 dilaporkan menyuarakan hasrat untuk turun takhta kerana bimbang faktor usianya akan menyukarkan baginda memenuhi kewajipan sebagai maharaja.
Ketika ini, hanya ada empat waris yang layak mewarisi takhta diraja Jepun, iaitu dua anak lelaki Maharaja Akihito, abang maharaja, dan Putera Hisahito, 10, iaitu anak lelaki putera kedua maharaja.
Ini menimbulkan kebimbangan masyarakat Jepun, bahawa Putera Hisahito mungkin menjadi waris terakhir takhta. Bagaimanapun, setakat ini tiada pindaan dibuat terhadap undang-undang yang hanya membenarkan kaum lelaki mewarisi takhta atau membenarkan wanita untuk kekal dalam keluarga diraja selepas berkahwin.
Dalam pada itu, Puteri Mako dan bakal suaminya, Kei Komuro, 25 adalah lulusan Universiti Antarabangsa Christian. Puteri Mako yang memiliki ijazah sarjana dari Universiti Leicester kini bertugas sebagai penyelidik di sebuah muzium.