Seorang kanak-kanak kelahiran Sabah menjadi tumpuan ramai kerana memiliki sepasang mata berwarna biru. Dia yang ditemui di Kampung Bingkul memberitahu hanya dia dan kakak sulung serta ibunya sahaja yang memiliki keistimewaan itu.
Kamarul Hisham Mustafa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ini pada awalnya merasa janggal kerana warna mana tidak sama seperti rakan-rakan dia yang lain. Namun bagi Kamarul ini adalah anugerah daripada Allah.
“Jika di sekolah rakan selalu panggil saya ‘mata guli’ disebabkan mata saya yang berbeza warna daripada kawan yang lain, namun saya menganggap ia bukan penghalang saya untuk bergaul sesama mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar, sering menjadi tumpuan orang ramai sehingga dia sering dipelawa untuk mengambil gambar kenangan bersama memandangkan keunikan warna matanya yang jarang ditemui membuatkan orang ramai teruja.
Dia juga percaya keunikan yang dimilikinya diwarisi daripada ibunya Rosdah Abdullah, 47, yang berdarah campuran Melayu Brunei dan Pakistan. Ayahnya, Mustafa Kamal, 48, berasal dari Negeri Sembilan.