Seperti yang kita semua tahu, khasiat air garam terbaik adalah daripada laut yang dikatakan dapat menjadi penawar kepada masalah kulit ekstrem, tetapi tahukah anda bahawa air garam juga banyak manfaatnya untuk kesihatan dan kecantikan rambut?
Baru-baru ini, penulis ada menonton satu rancangan kecantikan Korea. Dalam rancangan tersebut, beberapa penggaya rambut (hair stylist) jemputan akan berkongsi tips mengenai penjagaan rambut serta teknik-teknik moden penggayaan rambut. Seorang daripada mereka kemudian bertindak menyeburkan campuran air garam ke seluruh bahagian rambut model sebagai satu medium dan rejim sebelum melakukan langkah blow. Hasilnya memang cukup menawan, menambah tekstur pada rambut agar kelihatan bergelombang secara natural.
Ya, air garam bisa menambah seri pada rambut yang lurus seperti kebanyakan orang Asia termasuklah masyarakat berketurunan Cina, Korea dan Jepun kerana rata-rata mereka memiliki rambut semula jadi yang lembut dan lurus… tidak seperti masyarakat Melayu dan India yang kebanyakannya dilahirkan dengan rambut ikal dan tebal.
Ayuh Wanista rungkaikan apa lagi keunikan air garam untuk kecantikan serta kesihatan rambut.
#1 Sihatkan Kulit Kepala
Jika anda mandi atau berendam dalam laut sambil membasahkan rambut, air garam laut akan bertindak memulih masalah normal kulit kepala seperti kegatalan dan kelemumur. Ia secara tidak langsung membuatkan kulit kepala berasa lebih segar malah bebas dari iritasi.
Jika selalu dilakukan, masalah kekeringan, kegatalan dan iritasi kulit kepala itu bakal pulih dan kekal buat jangka masa yang panjang. Cubalah!
#2 Kaya Vitamin & Mineral
Vitamin dan mineral yang diserap oleh kulit tubuh dan kepala mampu menjadi antibiotik terbaik untuk memulihkan apa sahaja masalah kulit dari jerawat hinggalah kepada psoriasis (sejenis kondisi masalah kulit yang kritikal di mana tumbuhnya tompok merah gatal bahkan kulit menjadi bergerutu dan bersisik). Jangan tak tahu, kulit kepala juga boleh dihinggap masalah jerawat tau?
#3 Menggalak Pertumbuhan Rambut Yang Sihat
Bila air garam atau air laut itu tadi sudah memulihkan masalah rambut dari dalam, kulit kepala sudah tentu akan menjadi segar dan sihat. Maka, rambut baru yang tumbuh juga bakal menjadi sihat malah lebih kuat daripada sebelumnya. Tiada lagi masalah rambut patah dan keguguran melampau!
#4 Beri Tekstur Gelombang Pada Rambut
Air garam adalah semburan terbaik untuk rambut kerana selain ramuannya yang berasaskan bahan semula jadi bebas kimia, ia juga mampu menghasilkan tekstur rambut bergelombang tanpa perlu menggunakan curling iron secara berlebihan kerana kepanasan melampau akan melemahkan struktur rambut.
TIPS!
- Sila cuci rambut dengan syampu dan air biasa selepas berendam dan membasahkan rambut dengan air laut. Jika tidak, dikhuatiri sisa garam yang melekat pada rambut akan menyebabkan kekusutan seterusnya merosakkan rambut.
RESEPI SEMBURAN AIR GARAM
Jika anda malas membuat semburan ini sendiri, beli sahaja Sea Spray Hair Mist dari Lush ini.
Jika rajin, campurkan kesemua ramuan ini bersama dalam botol semburan kosong yang boleh dibeli dari daiso mahupun farmasi terdekat.
Ramuan:-
- 2 cawan air suam yang dimasak terlebih dahulu
- 2-3 sudu besar garam laut (sea salt)
- 1 sudu besar minyak kelapa
- 1 sudu besar gel aloe vera
Campur semuanya dan goncang setiap kali sebelum guna. Simpan dalam suhu bilik dan boleh digunakan bila-bila masa anda mahu mengecapi beach wavy hair!
Tonton Tutorial Semburan Air Garam Untuk Rambut
PERHATIAN!
Jika memiliki masalah rambut yang terlalu kering atau rambut berwarna (rambut dilitupi pewarna), sila elak menggunakan terapi air laut ini kerana dikhuatiri ia akan menjadikan kulit kepala dan rambutmu bertambah kering sehingga menjejaskan kesihatannya.
Selamat beramal!