Pernah menjadi trend kecantikan dahulu, dimana para selebriti memuat naik gambar di laman sosial masing-masing apabila mendapatkan rawatan kecantikan terapi ozon di sebuah spa atau salun kecantikan. Ia dikatakan terapi membersihkan darah untuk memberikan hasil kulit yang bebas dari masalah.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengharamkan rawatan terapi ozon kerana ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan sehingga membawa maut. penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada sebarang manfaat diperoleh pesakit yang menjalani rawatan berkenaan, sebaliknya ia hanya membahayakan nyawa pengguna.
Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, perkhidmatan tersebut perlu dihentikan serta-merta dan kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Dr Subramaniam berkata, mereka yang menerima rawatan berkenaan berisiko untuk mengalami pendarahan kerana menggunakan heparin iaitu ubat untuk mencairkan darah.
“Selain itu, mereka juga akan mengalami embolism atau penyekatan salur darah oleh gelembung udara, jangkitan kuman dari alatan yang tidak disteril serta hilang upaya kekal akibat kegagalan organ seperti buah pinggang,”
Beliau berkata, dakwaan rawatan terapi ozon boleh melambatkan penuaan, meningkatkan tenaga dan memutihkan kulit adalah tidak benar.