Kulit selembut sutera adalah impian bagi semua wanita. Sedari muda, kita sebagai gadis yang baru berjinak-jinak dengan dunia kecantikan ini pastinya telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan tentang penjagaan wajah serta produk-produk terbaik yang bisa mengekal keremajaan kulit. Namun, sejauh manakah keberkesanan produk berkenaan dan apakah ia mampu dipraktikan secara konsisten?
Rutin kecantikan cara Korea adalah antara rejim penjagaan wajah yang hangat diperkatakan kini. Untuk memiliki kulit wajah segar dan natural seperti kebanyakan selebriti K-Pop bagaikan suatu kemestian. Tak perlu mekap yang tebal hanya wajah yang polos menonjolkan kulit sihat berkilau.
Wanista peka akan kehendak dan impian anda justeru mahu berkongsi 10 panduan dan helah terbaik, bagaimana caranya dan apakah produk terbaik yang boleh digunakan sebagai medium penjagaan kulit persis penghibur K-Pop. Jom ambil tahu…
#1 Toner
Ambil 3 keping kapas dan lembabkan dengan cecair Toner pilihan (3 hingga 5 titis toner pada setiap satu kapas) seterusnya letakkan kapas tersebut pada dahi dan kedua belah pipi. Biarkan ia melekat pada pipi selama satu minit sebelum menyapu keseluruhan wajah menggunakan sisa lembapan toner pada kapas.
KEBAIKAN: Mengetatkan kembali liang pori yang terbuka selepas proses mencuci. Amalkan penggunaan toner setiap kali selepas mencuci wajah.
#2 Esen Wajah
Di pasaran terdapat variasi pilihan esen yang boleh anda temui sama ada dalam bentuk cecair pekat berminyak mahupun cecair berasaskan air. Terpulang kepada pilihan masing-masing tapi menurut kebanyakan selebriti Korea, mereka lebih gemar menggunakan esen wajah yang mempunyai konsistensi pekat seperti minyak mahupun krim kerana kulit akan lebih mudah menyerap nutrien dalam bentuk minyak serta krim.
KEBAIKAN: Menyalur nutrisi yang baik kepada kulit. Gunakan haba panas pada telapak tangan untuk menekup produk pada wajah, ia akan bantu melancarkan proses penyerapan produk sehingga ke lapisan kulit paling dalam.
#3 Pelembap
Nak kulit cantik? Toner dan esen sahaja tidak mencukupi justeru lapiskan pula dengan krim pelembap yang berasaskan air kerana seperti yang kita semua sedia maklum, air adalah sumber utama mampu menjadikan kulit sihat tidak bersisik (kering). Ratakan krim pelembap secara nipis pada pada keseluruhan kulit, tak perlu guna terlalu banyak produk kerana takut kulit tidak dapat menyerap sepenuhnya.
KEBAIKAN: Pelembap akan mengunci kelembapan kulit sepanjang hari. Oleh itu adalah sangat mustahak untuk wanita menggunakan krim pelembap sebelum bersolek kerana selain buat wajah tampak sihat dan gebu, ia juga bisa memudahkan langkah sapuan bedak asas (foundation).
#4 Krim Mata
Ops! Jangan terlalu asyik menjaga wajah sehingga lupa penjagaan mata. Kulit pada bahagian mata adalah bahagian paling sensitif dan nipis. Sapukan krim mata pada keseluruhan bahagian mata terutamanya kawasan bawah mata. Tak perlu banyak, cukup sekadar calitan sebesar ‘kacang hijau’ dan diratakan pada keliling mata.
KEBAIKAN: Untuk elak kawasan tersebut cepat berkedut dan tua sebelum waktunya, sapukan sambil jari menekan-nekan seperti piano pada bahagian keliling mata. Urutan akan merangsang kulit untuk menghasilkan kolagen.
#5 Semburan Menghidrat
Seperti biasa yang dilihat dalam drama bersiri Korea, kebanyakan watak wanita akan memanfaatkan semburan “face mist” sebagai salah satu cara menyalurkan lembapan optimum pada wajah. Ia mudah digunakan dan menjimatkan masa.
KEBAIKAN: Selain dapat mengunci mekap untuk kekal lebih lama pada kulit, rembesan air dari semburan istimewa itu mampu menaikkan seri kulit wajah yang kusam seterusnya menjadikan wajah segar-bugar!
#6 Krim Pelindung Matahari
Tahukah anda, selaran matahari sedikit sebanyak menyumbang kepada keterjejasan kulit wajah sehingga mengundang kedutan halus, jeragat, kekeringan dan masalah kulit memudaratkan? Anda juga sebenarnya terdedah pada risiko kanser kulit. Oleh itu, sapukan krim pelindung matahari agar kulit dilindungi perisai yang mampu memantul kembali selaran matahari tersebut.
KEBAIKAN: Kulit terlindung dari sinaran UV berbahaya, mengurangkan risiko terkena kanser kulit, terpelihara dari masalah tona tidak sekata malah mampu melambatkan proses penuaan yang sebenarnya bakal menjejaskan keyakinan dan rupa paras seseorang.
#7 Helaian Topeng Muka
Kita sebagai orang Melayu lebih gemar memakai mask jenis lulur seperti bedak sejuk dan sebagainya, namun lain pula dengan orang Korea. Mereka lazimnya sukakan cara mudah dan cepat. Untuk pengetahuan anda, wanita dan gadis Korea yang obses dalam penjagaan kecantikan wajah akan membawa topeng muka bernutrien ke mana sahaja mereka pergi.
KEBAIKAN: Tak makan masa terlalu lama, hanya perlu hamparkan kepingan mask pada wajah selama 15 hingga 20 minit sebelum mengurut wajah sehingga cecair lebihan maska yang melekat pada muka bisa meresap dengan rapi. Jika kerap dimanfaatkan ia boleh bantu menghaluskan kulit serta menganjalkan kulit.
#8 Manfaat Teknik Double Cleansing
Cucian berganda adalah langkah pertama untuk mendapatkan kulit bak selebriti kpop! Anda harus membersihkan sisa solekan yang ada pada wajah anda terdahulu menggunakan pembersih yang berasaskan minyak untuk langkah cucian yang pertama. Selepas itu, gunakan pula sabun pencuci wajah yang bisa membersih hingga ke dalam (deep clean) untuk cucian wajah kali kedua.
KEBAIKAN: Saban hari wajah dilapisi mekap yang tebal, tersumbat dengan segala kotoran debu dari udara serta minyak sebum. Untuk mengelak kulit ditumbuhi jerawat serta munculnya bintik hitam dan putih, teknik cucian berganda ini adalah sangat efisyen untuk membersih pori wajah secara teratur.
#9 Krim Malam
Krim malam kaya dengan pelbagai manfaat baik untuk kulit. Lebih-lebih lagi apabila ia disapu atas permukaan kulit yang bersih tanpa sebarang solekan serta bebas dari terkena seleran matahari. Waktu malam adalah masa yang paling tepat untuk memulih kulit.
KEBAIKAN: Guna krim pelembap wajah Olay Regenerist Micro-Sculpting Night Cream ini sebelum tidur (selepas mencuci wajah dengan bersih dan rapi diselangi penggunaan toner) kerana ia akan bertindak sebagai rawatan intensif anti-penuaan yang selamat, berfungsi sepanjang malam untuk memberikan hasil lumayan agar bisa mendapat kulit yang sihat, anjal dan bebas kedutan sehalus porselin.
#10 Urutan & Tamparan Ringan
Kebanyakan wanita di Korea menampar muka mereka sebanyak 50 kali setiap hari selepas selesai mencuci muka dan dalam masa yang sama akan melakukan urutan khas pada wajah sebagai contoh; dengan menggunakan tulang ketuk jari (tulang bonggol) atau ibu jari untuk mengurut seluruh permukaan wajah bertujuan merangsang sel dan otot bawah kulit.
KEBAIKAN: Tamparan berfungsi menegang otot wajah manakala urutan pula menggalak peredaran darah dan oksigen ke atas wajah. Hasilnya, kulit jadi menyerlah dan berseri.
Selamat beramal!