Pelakon, Sharnaaz Ahmad dan pasangan Noor Nabila iaitu kakak kepada Neelofa, bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada sidang media khas 9 Januari ini.
Majlis tersebut akan berlangsung di sebuah lokasi terkemuka di ibu kota, pelakon yang kini turut bergelar pengarah itu juga bakal mengumumkan tajaan dan perkara berkaitan hari bersejarahnya.
“Alhamdulillah, jemputan untuk ke sidang media khas bagi berkongsi perihal perkahwinan kami sudah diterima oleh pihak media. Buat masa ini, fokus diberikan kepada persiapan perkahwinan dan kami akan berkongsi lebih lanjut mengenai banyak perkara pada tarikh itu.
“Kami antaranya akan memaklumkan mengenai tarikh akad nikah, resepsi pihak perempuan, penaja yang terbabit dan banyak lagi. Malah, saya juga akan menjelaskan sebarang kekeliruan yang akan diusulkan oleh media.
“Tidak elok rasanya untuk saya bercerita lebih-lebih ketika ini kerana Nabila kini sedang menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci dan dijangka pulang pada 7 Januari ini,” katanya kepada BH Online.
Buat masa sekarang Sharnaaz bersama pasangan turut sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan mereka.
Pasangan merpati dua sejoli itu dikatakan mula menjalinkan hubungan cinta sejak Jun 2015.
Pada 18 Disember lalu, keluarga Sharnaaz berkunjung ke kediaman Noor Nabila, di sini, untuk merisik buah hatinya itu. Kedua-dua keluarga turut memutuskan untuk tidak melangsungkan majlis pertunangan, sebaliknya pasangan terbabit akan terus saja dinikahkan.
Kata Sharnaaz ketika dihubungi BH Online bulan lalu, mereka juga bakal disatukan sebagai suami isteri pada suku pertama tahun ini.