Jalan raya ikonik yang berlatarkan lautan Victoria yang indah adalah rumah kepada acara marathon paling hebat, The Great Ocean Road Marathon. Dengan pemandangan panoramik lautan selatan yang pastinya buat para peserta larian berasa takjub, lokasi yang memang terkenal dengan pantai cantik ini bisa sahaja menarik para peserta dari seluruh pelusuk dunia bagi menyertai acara larian marathon merentasi bumi Australia yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Mei ini.
Acara marathon akan bermula di Lorne hingga ke Apollo Bay sepanjang pesisiran pantai yang paling menarik di Australia itu.
Sempena menyambut ulang tahun acara tahunan marathon itu yang ke-12, acara ikonik itu bakal menyediakan satu peluang unik kepada para peserta yang bertuah tanpa mengira umur mahupun tahap kecergasan yang dimiliki seseorang untuk mencabar diri mereka secara fizikal bagi melakukan larian, terdiri dari kategori 1.5km hingga 60 km.
Buat julung kalinya juga, marathon The Great Ocean Road menawarkan bagi sesiapa yang mahu dan berkemampuan dari segi tenaga untuk menyertai Ultra Marathon iaitu larian sejauh 60km. Dalam acara saingan yang khas inilah, para peserta dapat merasa untuk melalui jalan-jalan kaki gunung, merentasi kawasan pergunungan serta menikmati pemandangan Great Ocean Road dari segenap penjuru.
Manakala, kategori larian yang lainnya adalah termasuk marathon Great Ocean Road 44km, marathon separuh masa 23km, Geelong Advertiser Paradise Run 14km, Mizuno Run 6km dan satu-satunya larian marathon untuk kanak-kanak -Great Ocean Road Real Estate Kid’s Gallop 1.5km.
Pekan tepi pantai yang diberi nama Lorne, Autralia adalah terletak hanya dua jam dari kota Melbourne dan mudah untuk diakses melalui kemudahan pengangkutan awam ataupun dengan memandu. Jika anda mahu melihat kunang-kunang bergermelapan menerangi langit malam, anda bolehlah singgah ke Otway National Park di mana, kawasan dalam hutan Melba Gully adalah tempat yang habitat kunang-kunang.
Bukan itu sahaja, untuk para pencinta binatang yang tegar, anda boleh terus menjelajah bumi Australia dengan melawat Kennett River iaitu sebuah kawsan yang dipenuhi habitat beruang Koala yang tinggal di atas pokok jenis Gumtree.
Jika anda berminat menyertai acara marathon yang juga boleh memberi peluang kepada anda untuk meneroka bumi Australia dengan lebih dekat, sila darftarkan penyertaan di greatoceanroadmarathon.com.au. Kesemua maklumat bagi penyertaan serta harga yuran untuk setiap kategori yang dipertandingkan juga ada disenarai di laman web berkenaan.