Lihat tajuk, mesti pelbagai persoalan bermain di minda, bukan?
Untuk pengetahuan anda, dalam diet harian, ada beberapa makanan yang anda jadikan keutamaan kononnya diambil bagi mengurangkan berat badan, tetapi tahukah anda makanan yang disangka baik itu sebenarnya mengandungi lemak serta kalori yang lebih tinggi berbanding makanan lain?
Sushi. Biar betul sushi? Ramai yang memilih sushi jika mereka ingin menurunkan berat badan, dengan sayuran segar dan rumpai laut, ia sememangnya rendah kalori. Namun yang memburukkan lagi apabila hidangan ditambah dengan mayones, ikan yang digoreng dengan mentega lantas menjadikannya tidak lagi sesuai untuk pengawalan pemakanan.
Buah Kering. Untuk pengetahuan anda, buah kering mengandungi lima hingga enam kali lebih tinggi kandungan kalori daripada buah-buahan segar. Ini kerana ia dikeringkan dan kehilangan sumber air yang banyak. Namun awas dengan sebahagian besar jenama buah-buahan kering yang turut menambah gula supaya lebih terasa serta tahan lebih lama.
Teh Botol. Anda memilih air teh yang dibotolkan kerana teh lebih baik daripada kopi. Namun ramai yang tidak sedar akan kandungan gula di dalamnya boleh menyamai kandungan kalori di dalam sebotol air soda.
Jus Buah Kotak. Ramai di antara kita mudah terpedaya dengan iklan di media massa yang menyatakan jus buah-buahan kotak menyihatkan, namun sebenarnya ia tidaklah seperti itu. Untuk membuatkan ia lebih tahan lama, gula menjadi menu utama dalam pembuatannya. Jadi jus dalam kotak tidaklah sesihat seperti yang anda sangka.
Salad. Memang bagus makan sihat namun salad yang sentiasa menjadi hidangan di restoran menyajikan dressing mayones yang manis, hirisan keju yang berlebihan serta kekacang yang hanya menambahkan kalori pada hidangan tersebut.