“Bestnya dapat minum lemonade ataupun jus segar buah-buahan”.
Musim panas macam ni, rasanya sungguh nyaman jika dapat menikmati minuman yang segar, sihat dan lazat, bukan? Nak beli, rasa malas nak keluar rumah. Kami cadangkan anda DIY sahaja.
Ini antara beberapa pilihan anda boleh buat.
#TEH HIJAU
Anda perlukan:
- 3 uncang teh hijau
- 1/2 cawan air panas
- Sebiji kiwi
- Sebiji lemon
- Ais
- Maple syrup/madu
Caranya sangat senang. 3 uncang teh hijau diletakkan ke dalam kira-kira 1/2 cawan air panas. Biarkan selama 3 hingga 5 minit. Potong kiwi dan lemon, ketepikan. Perah lebih lemon. Dalam gelas, tambah ais dan tuangkan teh hijau ke dalamnya. Untuk tambah kesedapan tambah maple syrup, jus lemon, kiwi dan hirisan lemon. Gaul rata dan nikmati!
#TEMBIKAI
Anda perlukan:
- 6 cawan tembikai yang dipotong persegi, tanpa biji, kalau boleh yang sejuk
- 4 caw an air sejuk
- 3/4 cawan jus lemon segar, sejuk
- 2/3 cawan gula pasir – lebih kurang secukup rasa
- Ais dan daun pudina sebagai pelengkap
Masukkan tembikai ke dalam mesin pengisar makanan, kisar sehingga menjadi puri (perlu ada kira-kira 4 cawan). Selepas itu, tapiskan, hampas dibuang. Dalam jug, gaul air, jus lemon dan gula sehingga gula larut. Masukkan tembikai kisar tadi. Tambahkan ais dan daun pudina untuk melengkapkan rasa lagi. Jika anda nak masam, boleh tambah lagi jus lemon ikut kehendak anda. Dah siap, boleh simpan dalam peti sejuk.
#TEH AIS BUAH PEACH
Bahan diperlukan:
- Buah peach – ikut suka, potong dadu kecil
- Ais
- Sirap peach dalam tin (air gula)
- Gula
- Ais
- Air
- 1 uncang teh
Cara penyediaan:
Rendam uncang teh dengan 1 mug air panas. Masukkan air teh dalam jug. Masukkan jus peach, jika kurang manis boleh tambah sedikit gula. Masukkan air dan ais. Akhir sekali masukkan buah peach, kacau rata supaya gula tidak mendap di bahagian bawah sahaja. Hidangkan untuk menyamankan tekak. Senangkan! Air ni mesti ada rasa masam manis sikit.
Kalau nak sedap dan wangi lagi, masa rendam uncang teh dengan air panas tadi, boleh siatkan sehelai daun pandan. Jika anda inginkan sirap peach yang segar, mungkin anda boleh buat sendiri sahaja. Anda hanya perlukan 1 cawan gula, 1 cawan air dan 2 hingga 3 biji buah peach segar yang dipotong nipis.
#BLUEBERRY LEMONADE
Bahan-bahan:
- 2 cawan blueberry segar
- 3/4 cawan gula pasir
- 2/3 cawan jus lemon segar yang diperah
- 4 cawan air sejuk
- Hirisan lemon dan blueberry untuk hiasan
Cara membuatnya:
Masukkan blueberry, gula dan 1 cawan air ke dalam mesin pengisar makanan. Kisar pada kelajuan sederhana tinggi selama 1 minit, sehingga blueberry menjadi benar-benar puri. Tapiskan puri blueberry, hampas dibuang. Campurkan puri blueberry dengan jus lemon dan baki 3 cawan air sejuk. Tambah lebih banyak air, jika mahu. Masukkan hirisan lemon dan blueberry. Kacau dan sejukkan.
Anda juga boleh buat lemonade bersama buah-buahan yang lain, ikut selera anda.
Sumber : Pinterest