Cawangan Belia Persatuan Lun Bawang Sarawak dengan bangganya mempersembahkan pencarian tahunan Ruran Ulung dan Padan Liu Burung, satu pertandingan ratu cantik dan pahlawan yang diadakan sempena Pesta Lun Bawang di Lawas, Sarawak.
Pencarian untuk tahun 2016 akan diadakan pada 3 dan 4 Jun di Dataran Bandar Lawas, Lawas dan jemputan untuk mengambil bahagian adalah terbuka kepada semua keturunan Lun Bawang dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Pendaftaran untuk Ruran Ulung dan Padan Liu Burung kini dibuka dan boleh dibuat secara online pada laman Facebook rasmi ‘Ruran Ulung & Padan Liu Burung’. Jemputan juga telah dihantar ke semua cawangan-cawangan Persatuan di seluruh negara dan negara Brunei dan Kalimantan, Indonesia untuk menghantar wakil dalam pencarian tahunan yang akan menawarkan hadiah tunai berjumlah RM10, 000.
Selain hadiah utama, peserta juga boleh berentap untuk memenangi gelaran sampingan termasuk Miss / Mister Tourism, Miss / Mister Talent dan Miss / Mister Photogenic. Pemenang keseluruhan tidak hanya dinilai berdasarkan kecantikan dan penampilan fizikal tetapi juga pengetahuan mengenai budaya dan warisan Lun Bawang.
“Tahun ini kami berharap badan-badan korporat akan menggunakan peluang ini bergabung tenaga dengan kami dalam menganjurkan acara ini sebagai cara untuk mendekatkan diri dengan lebih dekat kepada suku kaum di Sarawak. Tajaan dari kewangan dan dari segi biasiswa untuk melanjutkan pengajian tinggi amat dialu-alukan untuk memberikan sokongan kepada suku kaum peribumi muda di Sarawak, “kata Jude Benjamin Lisa, Pengerusi Penganjur Ruran Ulung dan Padan Liu Burung 2016.
Pendaftaran penyertaan tutup pada 25 April 2016. Untuk peluang penajaan, hubungi Jude Benjamin Lisa di lisa.judebenjamin@gmail.com atau telefon bimbit 0178773871.