Difahamkan, selepas mengubah Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu, penaja utama Kelantan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida kini merancang untuk membina sebuah hotel bertaraf enam bintang yang dilengkapi taman tema di negeri pantai timur itu.
Hotel yang menelan belanja RM280 juta itu bakal diberi nama Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dan akan dibina bersebelahan stadium keramat negeri kelahirannya.
Jelas Vida, hotel setinggi 19 tingkat yang bakal dilengkapi kemudahan sukan dan aktiviti riadah itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun, sama seperti tempoh tajaannya kepada pasukan Kelantan.
“Hotel itu dibina di tanah seluas 0.7 hektar berhampiran papan skor Stadium Sultan Muhammad IV. Selain menyediakan kemudahan terbaik bagi pembangunan sukan di Kelantan, ia juga bakal menjadi mercu tanda baharu Kelantan,” katanya.
Usahawan wanita dari Machang itu berkata, idea untuk membina hotel tersebut hadir bertepatan dengan cita-citanya untuk menjadikan Kelantan berdiri sama tinggi seperti kelab terkemuka Eropah.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, jika saya sudah meletakkan harapan dan cita-cita yang tinggi terhadap sesuatu perkara, saya akan berjuang untuk merealisasikannya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hotel tersebut, Vida berkata, tingkat bawah akan dijadikan kompleks sukan yang akan menempatkan gelanggang tenis, pusat boling dan latihan pukulan golf.
“Jadi mereka yang datang menyaksikan perlawanan di stadium Kelantan tidak perlu bimbang kerana kemudahan tempat tinggal sudah ada di depan mata. Pembinaan taman tema dekat dengan hotel itu juga seiring dengan usaha untuk mewujudkan konsep kekeluargaan yang bermula dari dalam stadium,” katanya.
Bagi penyokong yang enggan turun ke stadium, mereka boleh menyaksikan perlawanan secara langsung dari kafe yang disediakan di tingkat bawah hotel tersebut.
“Jadi mereka masih boleh menonton perlawanan secara langsung beramai-ramai. Menerusi konsep ini penyatuan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat dipupuk.
“Ini baharu titik permulaan saya untuk membangunkan program sukan dan industri pelancongan di negeri ini. Namun masih ada lagi yang akan saya lakukan dan berharap usaha keras saya ini mendapat sokongan rakyat Kelantan,” katanya.
Selain merancang untuk membina hotel ini, Vida turut menyediakan kemudahan gimnasium yang dilengkapi kolam ais seperti yang dimiliki kelab terkemuka dunia kepada pasukan Kelantan.
Gimnasium itu dibina di tingkat tiga Wisma Vida Beauty yang terletak di Kubur Langgar, Kota Baru kerana ruang di Stadium Sultan Muhammad IV agak terhad.
Vida berkata pembinaan gimnasium itu amat penting bagi memberi keselesaan kepada pemain TRW dalam menjalani latihan kecergasan sebelum dan selepas tamat perlawanan serta sesi latihan mereka.