Berikutan isu Rohingya yang saban hari menarik perhatian masyarakat dunia. Penerima anugerah Nobel keamanan menyertai bantahan global terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi atas pencabulan hak asasi manusia di bawah pemerintahan beliau.
Sekumpulan 23 aktivis hak asasi manusia, termasuk penerima anugerah Nobel dan bekas pemimpin perniagaan dan politik, berkata Suu Kyi yang juga seorang penerima anugerah Nobel, gagal untuk memastikan hak asasi manusia bagi minoriti Islam Rohingya yang ditindas di negara majoriti Buddha itu terbela.
Kumpulan itu membuat kenyataan dalam surat terbuka di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Dalam surat itu, aktivis mengecam Myanmar atas tindakan keras ketenteraannya ke atas umat Islam Rohingya hingga menyebabkan kematian ratusan penduduk minoriti itu, membakar rumah, merogol serta sewenang-wenangnya menahan dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang meninggalkan kediaman mereka.
Pada 9 Oktober lalu, tentera dikerahkan berikutan serangan maut ke atas pengawal sempadan negara oleh kumpulan yang tidak dikenali.
Kerajaan menyalahkan Rohingya atas kejadian itu. – Agensi