Afdlin Shauki, pelakon dan pengarah bakal mengarah filem bertajuk Sandakan Tiers, kisah benar 3,000 tahanan tentera Jepun di salah satu lokasi tahanan perang di Sandakan pada Perang Dunia Kedua.
Afdlin berkata, filem itu akan menggunakan khidmat penulis skrip dari Amerika Syarikat dan beberapa pelakon Hollywood dengan anggaran kos sebanyak AS15 juta (RM67.2 juta).
Menurut Afdlin, filem ini mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang turut bertindak dari segi Kajian dan Pembangunan (R &D).
“Mereka memberikan filem ini kepada saya dua tahun lalu. Draf kedua skrip ini sudah disiapkan yang mengambil masa setahun. Saya memberikan jalan cerita dan skrip dihasilkan oleh dua penulis.
“Dari segi kos pembikinan saya sudah berbincang dengan beberapa pihak yang berminat untuk melabur. Daripada maklum balas mereka, saya yakin dana itu dapat diperoleh,” katanya kepada Harian Metro.
Afdlin berkata, filem itu dihasilkan bagi tujuan pasaran antarabangsa dan mensasarkan pencalonan awal di Academy Awards.
Ia juga akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sesuai dengan latar dan jalan cerita yang dipaparkan.
“Selepas semuanya berjalan lancar, barulah saya boleh mengenal pasti watak yang sesuai. Watak utama filem ini adalah wanita dan saya sendiri akan ke Amerika Syarikat bagi mengadakan sesi uji bakat. Boleh dikatakan 99 peratus pelakonnya adalah orang sana.
“Saya tak boleh beritahu siapa pelakonnya kerana perkara itu belum disahkan. Lagipun mereka sangat tegas dan sensitif mengenai hal ini,” katanya.
Afdlin berkata, dia hanya boleh memaklumkan bila penggambaran filem ini boleh dimulakan pada bulan depan.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia sebuah projek filem epik yang menarik,” katanya.
“Daripada jumlah itu hanya enam tahanan yang berjaya melepaskan diri. Filem ini berdasarkan kisah yang diceritakan daripada salah seorang tahanan itu yang masih hidup.
“Buat masa sekarang antara lokasi yang difikirkan ialah Sandakan, Australia dan Pinewood Studio, Johor Bahru,” katanya.