Tinggal beberapa minggu sahaja lagi kita semua akan melangkah ke tahun baru. Mungkin ada diantara pembaca yang mempunyai anak kecil bakal ke tadika buat pertama kali. Pasti anda dan keluarga cukup teruja untuk melihat perkembangan anak-anak di tadika. Bagaimana keletahnya bersama rakan baru, cara interaksi terhadap guru dan cerita-cerita menarik sepanjang hari mereka disana.
Tapi sebelum itu, anda sebagai ibubapa wajib mengambil tahu tentang keadaan tadika yang bakal dijadikan rumah kedua si kecil. Apa perkara mustahak dan kriteria yang patut dititikberatkan dalam memilih tadika. Jangan pakai terjah sahaja, kerana ini merupakan satu hal jangka masa panjang dan pusat yang membentuk sikap malah identiti anak-anak anda.
Ikuti tips dari artikel ini, untuk anda lebih bersedia apabila ingin mendaftar atau memilih sesebuah tadika:
1) Yuran Pendaftaran Yang Berpatutan
Ketahui bajet anda dengan yuran yang ditawarkan oleh pihak tadika. Kebiasaannya yuran tadika tidak akan mencecah sehingga RM1000. Sekurang-kurangnya hanya RM800 lengkap dengan keperluan seperti uniform, buku, insuran, bayaran untuk majlis pendidikan, lawatan tadika dan pelbagai lagi servis pendidikan. Namun, mengikut peredaran masa kini, ada juga tadika yang menawarkan yuran RM1000 sehingga RM2000 keatas kerana mereka menyediakan servis yang lebih terjamin seperti kemudahan kamera litar tutup (CCTV), mengadakan lawatan ke luar negeri atau majlis pendidikan di hotel atau lokasi terkemuka.
Lagi satu, anda jangan pula ingat bayaran awal yang anda daftar itu adalah yuran untuk sepanjang tahun, masih ada bayaran bulanan dalam kadar RM150-RM250.
2) Ciri-Ciri Keselamatan Tadika
Tidakkah anda terkesan dengan pelbagai kisah dan berita yang membabitkan keselamatan anak-anak kecil di tadika? Jadi ciri-ciri keselamatan di tadika merupakan kriteria paling utama selepas kewangan. Bukan penulis nak mengajar anda menjadi ibubapa yang fussy, sebenarnya anda boleh meminta keizinan guru untuk melihat keadaan bangunan tadika. Adakah ia berpatutan dengan bayaran pendaftaran dengan ciri keselamatan seperti sistem kawalan kamera litar tertutup, pintu auto-lock bagi tadika yang tinggal diatas rumah kedai dan soalan cepumas yang perlu anda tanya kepada guru atau pengurus ‘tadika ini ada kotak first-aid tak?’ Hah! Kalau jawapannya ‘tidak’, maknanya tadika ini gagal. Iyalah kotak first-aid merupakan langkah pertama ketika berlaku kecemasan.
3) Sejarah Reputasi Tadika
Rajin-rajin lah ber’gossip’ dengan jiran atau kenalan tentang pengalaman mereka yang pernah menghantar anak-anak ke tadika yang bakal menjadi pilihan anda. Dari situ anda akan dapat pelbagai cerita baik atau buruk mengenai tadika tersebut. Masa inilah anda wajib mengenal pasti reputasi tadika dari rakan-rakan anda seperti ‘anak akak cepat membaca di tadika X’, ‘aktiviti di tadika Y semuanya best, anak aku tak meragam pun’ atau ‘guru-guru di tadika Z mesra, baik’.
Jangan sesekali tadika ini seperti perkara remeh-temeh pula, mereka pun sama taraf seperti pusat pendidikan lain yang mempunyai pencapaian kecemerlangan, anugerah dari kementerian dan sebagainya. Anda wajib beri perhatian terhadap perkara-perkara ini!
4) Cara Pembelajaran (Lesson Plan)
Semasa hari pendaftaran tadika, jangan ragu-ragu untuk meminta lesson plan tadika sebagai rujukan anda. Apa itu lesson plan? Perancangan pembelajaran untuk murid, iyalah takkan nak belajar ABC sepanjang tahun. Jadi wajib sesebuah tadika mempunyai lesson plan sekurang-kurang untuk 1 hingga 3 bulan. Ini lagi satu sebab untuk meyakinkan anda untuk menghantar anak anda disana.
5) Jadual Menu Tadika (Meal Plan)
Sama seperti lesson plan, jadual menu pemakanan tadika juga anda boleh minta pihak tadika kongsikan. Dua sebab anda kena tahu:
- Kalau boleh tak nak lah setiap hari ada menu yang sama. Ingat anda bayar okay!
- Mungkin anak anda mempunyai alergik kepada makan tertentu, seperti kekacang atau makanan laut. Jadi boleh maklum kepada pihak tadika.
6) Insuran dan Klinik Panel
Berbalik pada yuran pendaftran tadi, pastikan pihak tadika menyediakan insuran dan mempunyai panel klinik jika berlaku sebarang kecederaan di tadika. Fungsi tadika yang mempunyai klinik panel ini membolehkan anda tuntutan bayaran dari pihak tadika.
Tips diatas hasil perkongsian penulis bersama pengurus tadika berpengalaman, Cik Farzira Azahan dari Tadika Tunas Budi, Shah Alam.