Persatuan Strok Kebangsaan (Nasam) bakal menganjurkan Kejohanan Pejuang Strok yang pertama bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan persatuan itu.
Kejohanan yang bakal diadakan 4 Mac 2017 itu direka khusus agar para pesakit strok yang sedang dalam proses pemulihan boleh menyertai pelbagai acara sukan yang berada dalam skop keupayaan mereka.
Inisiatif perintis ini akan memberi pendedahan kepada semua pihak terhadap keupayaan setiap seorang bekas penderita strok malah menyedarkan orang ramai bahawa harapan masih ada untuk mereka dalam menjalani kehidupan yang normal meskipun selepas diserang angin ahmar.
Kejohanan ini seiring dengan kekuatan semangat dan innovasi NASAM selaras dengan moto persatuan iaitu “Masih Ada Kehidupan Selepas Strok” .
“Kejohanan Pejuang Strok diilhamkan daripada keyakinan bahawa bersukan dan beriadah membawa manfaat kepada otak,” jelas Pengerusi dan Pengasas NASAM, Janet Yeo yang juga merupakan seorang bekas penderita strok.
“Penting bagi mereka yang telah diserang angin ahmar untuk menjalani proses penyembuhan yang agresif. Penyertaan dalam sukan atau kejohanan bukan sahaja mampu memperbaiki daya kognitif bahkan bisa meningkatkan kecekapan tubuh serta keupayaan orientasi ruang.
“Selain itu, aktiviti berkenaan mempunyai kebaikan terapeutik seperti mengurangkan tekanan, membina semangat berpasukan dan memperbaiki kemahiran sosial,” tegas Janet.
Kejohanan Pejuang Strok ini bakal dilangsungkan di Kompleks Sukan Panasonic National Shah Alam dan akan menyaksikan penyertaan oleh hampir 800 bekas penderita strok, keluarga dan rakan-rakan daripada sembilan kelan NASAM dari seluruh Negara.
Sejumlah 34 acara sukan akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut dan akan dibahagikan kepada lapan acara individu dan 26 cabaran berpasukan. Antara acara yang dipertandingkan ialah ping pong, dart, boling, karom, jalan berhalangan, lari berganti-ganti dan bola jaring.
“Setiap acara dalam Kejohanan Pejuang Strok telah diubahsuai untuk keselamatan bekas penderita strok. Tahap ubah suai adalah berdasarkan tahap keseriusan dan kesan strok.
Bagi menjadikan Kejohanan Pejuang Strok ini satu kenyataan, NASAM sedang dalam usaha mengumpul dana sumbangan organisasi dan individu dalam bentuk tunai mahupun peralatan khas termasuklah hotel penginapan untuk bekas penderita strok dan penjaga mereka, baju T, trofi dan pengangkutan.
Kemuncak Kejohanan Pejuang Strok ini adalah Majlis Makan Malam Ulang Tahun Penubuhan NASAM yang Ke-20 pada Ahad, 5 Mac 2017 di Hotel Geno, Subang Jaya.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.nasam.org