Pada 25 Oktober lalu berlangsung Royal Selangor Design Week 2016 dengan siri ceramah dan sesi perbincangan yang menengahkan pengaruh elemen terhadap reka bentuk kontemporari.
Bertempat di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Royal Selangor Design Week menampilkan barisan pereka bentuk yang terkenal dan telah memenangi pelbagai anugerah reka bentuk. Acara ini bermula dengan ucaptama dari Freeman Lau, “Chairplay – Between Standing Up and Lying Down,” yang menerokai maksud tersirat disebalik reka bentuk kerusi.
Seterusnya pereka bentuk Singapura Jarrod Lim menyentuh tentang manfaat pemikiran reka bentuk dalam “Get Ahead of Competition with Design“. Isu-isu berkaitan tentang reka bentuk silang-budaya menjadi foku ceramah “In-Between State” oleh Voon Wong dan Ian Macready dari Viewport Studio, manakala Jamy Yang berkongsi pengalaman tentang penggabungan seni pertukangan tradisional dengan reka bentuk moden dalam “Contemporary Design Meets Traditional Craft“.
Pereka-pereka berpengalaman ini juga berbicara tentang isu-isu rumit yang dihadapi dalam bidang reka bentuk dan masyarakat kreatif dalam siri perbincangan panel. Dalam panel pertama “Design & Innovation“, Jarrod Lim, Nathan Yong dan jamy Yang bersama-sama Lillian Tay, Prinsipal Kanan VERITAS Architects, meluahkan pandangan mereka tentang teknik-teknik memupuk kreativiti dalam sebuah organisasi dan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejyaan sesebuah kolaborasi.
Dalam panel keduan “Design & Discover“, Freeman Lau, Voon Wong, Xu Xiayong serta Katrina Taib dari BIILAMANA berbincang mengenai proses pembangunan produk atau perkhidmatan yang menyumbang kepada pengalaman positif kepada pengguna.
Acara ini diakhiri dengan ucapan penutup Lauren Sizeland, Pengarah Pembangunan dan Pelesenan Perniagaan dari Victoria & Albert Museum, yang memberi penerangan tentang kerjasama antara pihak muzium dan pengamal trens untuk mengenal pasti tema-tema reka bentuk global terkini.
“Acara ini memberi peluang kepada para peserta untuk menjalin hubungan dengan pihak yang berminat tentang reka bentuk dan inovasi seperti Royal Selangor. Sambutan yang diberi kepada minggu reka bentuk sulung ini amat memberangsangkan dan usaha pihak kami tidak mungkin berjaya tanpa sokongan daripada barisan penceramah tempatan dan antarabangsa”. ujar Yong Yoon Li, Pengarah Eksekutif Royal Selangor International.