SonaOne, penyanyi rap dan pemenang anugerah berbakat besar dari Malaysia yang juga artis grafiti, penulis lagu dan penerbit, tampil dalam The Ultimate BROcation, sebuah siri realiti televisyen terbaharu yang dihasilkan oleh saluran TV aksi hiburan KIX HD (Saluran Astro 729).
The Ultimate BROcation akan memaparkan aksi lucu dan keriuhan SonaOne dan tiga selebriti lelaki Asia lain antaranya penyanyi, penari dan pelakon Filipina-Amerika, Billy Crawford; hos TV dan radio terkenal di Thailand, DJ PK; dan chef handalan dan pemilik restoran dari Singapura, Bjorn Shen.
The Ultimate BROcation merupakan siri realiti lima episod yang mengikuti pengembaraan empat selebriti lelaki di Hong Kong dalam percutian yang menjadi idaman setiap lelaki. Rancangan ini akan dipenuhi dengan parti, aktiviti menyeronokkan, hidangan lazat, gadis cantik, gajet hebat dan hubungan persahabatan empat sekawan. Keempat-empat selebriti ini bermula sebagai orang asing, tetapi mereka bakal menjadi sahabat baik setelah mengikuti percutian “brocation” bersama.
Turut menyertai mereka adalah pelakon kung-fu terkenal dari Hong Kong, Philip Ng, yang bakal membuat penampilan istimewa. Bintang drama TV A Fist Within Four Walls dan filem aksi epik Once Upon A Time In Shanghai ini akan memperkenalkan bandarnya dan turut menjadi penasihat mereka sepanjang percutian ini.
The Ultimate BROcation diterbitkan oleh syarikat induk KIX HD, Celestial Tiger Entertainment – pengendali saluran-saluran pan-Asia yang menumpukan kepada hiburan Asia – dan Endemol Shine Group, penerbit global yang menghasilkan siri yang memenangi anugerah, MasterChef Asia dan Big Brother. Rancangan ini disokong oleh Hong Kong Tourism Board, dengan penaja Cathay Pacific dan Harbour Grand Hong Kong. The Ultimate BROcation akan ditayangkan buat pertama kali secara eksklusif di KIX HD (Saluran Astro 729).