Universiti Malaya (UM) tidak pernah menganugerahkan gelaran ijazah kehormat doktor keusahawanan kepada pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd, Azizan Osman.
UM dalam kenyataan kelmarin memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan seperti mana dibangkitkan di laman-laman media sosial.
“Penjelasan tersebut diharap dapat menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat menganjurkan seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.
Sementara itu Richworks dalam kenyataan, yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Azizan, berkata syarikat itu kesal atas kesulitan tersebut dan akan menangani perkara itu sebaik mungkin.
Menurut kenyataan itu, syarikat itu mengambil serius mengenai kenyataan universiti berkenaan.
“Kami juga telah memohon untuk penjelasan lanjut dan sebaik sahaja proses ini berakhir, kami akan memaklumkan secara umum,” menurut kenyataan itu.
Azizan juga adalah pengasas, pengerusi eksekutif dan pengarah urusan kumpulan syarikat Richworks. — Bernama