Jerawat sering menyerang mangsa ketika waktu yang tidak sepatutnya. Lebih memburukkan keadaan apabila refleksi wajah yang dipenuhi radang kemerah-merahan serta berparut itu nanti bakal membuatkan orang tertanya sekaligus menjadikan penampilan diri seseorang menjadi kurang berkeyakinan.
Bak kata orang, mencegah itu adalah lebih baik dari mengubati dan di sini Wanista ingin berkongsi ilmu bagaimana anda boleh menghalang kemunculan jerawat pada kulit wajah dengan cara yang paling munasabah. Jom baca tips yang penulis sediakan ini!
#1 Bersihkan Solekan Secara Teratur
Amboi malasnya! Kalau malas bersihkan solekan padahnya kulit muka akan berjerawat tahu?
Mencuci wajah yang bersolek dengan pembersih biasa sahaja tidak cukup. Oleh itu, lakukan cucian berganda dengan membersihkan solekan menggunakan cecair pembersih mekap yang boleh didapati di mana-mana gedung kecantikan atau farmasi terlebih dahulu sebelum mencuci muka dengan gel pembersih wajah pilihan anda seperti biasa.
*** Selepas mencuci wajah, jangan lupa sapukan toner. Toner membantu menutup kembali liang pori yang terbuka.
#2 Jangan Kerap Gunakan Skrub
Skrub memanglah baik untuk digunakan sebagai elemen pengelupasan lembut yang bisa menghakis kotoran serta sel kulit mati pada wajah.
Namun begitu, jika terlalu kerap menggunakan skrub, kulit akan menjadi semakin nipis seterusnya bertindak menarik keluar segala lembapan baik pada wajah sehingga mengundang kemunculan jerawat. Hati-hati.
***Jangan lupa, ganti tuala untuk mengering muka secara kerap juga!
#3 Guna Pelindung Matahari
Panas terik bisa menggalak pertumbuhan jerawat, lebih-lebih lagi jika anda berpeluh. Oleh itu, lapiskan kulit anda dengan krim pelindung matahari supaya ia dapat memantulkan kembali selaran cahaya matahari pada wajah. Jika anda memakai solekan, pastikan anda tetap melapiskan krim pelindung matahari sebelum mengenakan sebarang solekan okay? Penting!
#4 Elak Menyentuh Wajah Menggunakan Jari dan Tangan Tanpa Alas
Kalau muka berpeluh atau gatal sekalipun, cuba elak menggaru atau menyentuh muka dengan tangan atau jari. Lebih-lebih lagi jika kulit anda sensitif.
Tangan adalah tempat membiaknya bakteria serta kuman memandangkan anda banyak menggunakan tangan untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Jika perlu, gunakan tisu atau tuala kecil sebagai alas untuk anda menyentuh permukaan wajah.
#5 Cuci Sarung Bantal & Alas Tidur Dua Kali Sebulan
Manusia sebenarnya berpeluh ketika tidur. Untuk pengetahuan anda, tempat tidur adalah tempat pembiakan bakteria yang paling ‘menyeramkan’.
Justeru kita semua hendaklah rajin menukar dan mencuci alas tidur (sekurang-kurang dua kali sebulan) terutamanya sarung bantal di mana kawasan wajah sering terdedah di atasnya.
#6 Basuh Rambut
Mungkin adalah satu sebab kenapa wajah watak “Kak Limah” sebegitu rupa. Ini kerana, rambut bisa menjadi punca utama kemunculan jerawat.
Rambut adalah umpama jaring -memerangkap kotoran yang ada di sekeliling kita. Justeru, basuh rambut 2-3 hari sekali supaya ianya bebas dari partikel-partikel halus yang boleh mengancam kesihatan wajah anda.
#7 Guna ‘Earphone’ Ketika Membuat Atau Menjawab Panggilan Telefon
Buat anda yang gemar benar ‘bergayut’ dengan kekasih tanpa mengira waktu, ini penulis nasihatkan supaya anda gunakan alat bantuan pendengaran seperti ‘earphone’ kerana cermin paparan telefon pintar anda mungkin telah dihinggap oleh jutaan anasir jahat seperti kuman dan kotoran.
Elak menekap telefon pintar pada bahagian pipi kerana ia akan mengundang kemunculan jerawat degil! Eww
#8 Ganti Baju, Tudung & Telekung Secara Berkala
Jangan tak mengaku, ada di antara kita yang suka memakai baju sama berulang kali tanpa membasuh.
Ingat! Jangan biarkan kuman menguasai diri. Sila ganti baju dan tudung anda setiap hari manakala pakaian solat seperti telekung boleh diganti dan dibasuh sebulan sekali.
#9 Cuci Berus Mekap Setiap Minggu
Bila dah rajin bersolek, anda juga harus rajin menjaga kebersihan. Bukan sahaja fokus kepada kebersihan wajah, tetapi kebersihan peralatan solekan juga harus diutamakan.
Cuba bayangkan setiap hari anda ‘menenyeh’ wajah anda dengan span bedak asas yang sama, menyapu berus yang berhabuk pada wajah berulang kali. Hmm… Jijik kan? Jadi, ringankanlah tulang anda untuk mencuci span dan berus solekan sebersih-bersihnya dengan kerap. Boleh cuci berus dengan syampu lembut tetapi hati-hati jangan terlalu kasar takut nanti bulu berus anda itu gugur.
Jangan malas kalau nak kulit flawless!
#10 Kawal Emosi & Cara Pemakanan
Hormon tekanan yang digelar ‘cortisol’ akan menggalak pertumbuhan jerawat. Jadi, anda perlu tahu mengawal emosi. Sila dapatkan tidur yang mencukupi, cari masa untuk lakukan senaman serta pantau kalender untuk pilih tarikh sesuai di mana anda boleh mendapatkan cuti dan rehat secukupnya. Ingat, lebih banyak anda runsing, lebih tinggi potensi anda untuk ditumbuhi jerawat.
Dari segi pemakanan pula, kurangkan pengambilan hidangan berminyak. Gantikan minyak masak (kelapa sawit) biasa dengan minyak zaitun untuk menggoreng atau memasak makanan kerana itu lebih sihat. Biarpun minyak zaitun mahal, ianya berbaloi!
Tak salah berbelanja lebih asalkan kesihatan terjamin. Selamat beramal!