Singapore Tourism Board (STB) telah memperkenalkan “SingaporeJunior”, satu inisiatif yang baru untuk menggalakkan pelancongan dalam kalangan keluarga dengan kanak-kanak. Inisiatif ini merupakan satu platform komprehensif yang bertujuan menampung pertumbuhan pelancongan dalam kalangan keluarga dengan kanak-kanak, terutamanya para pelancong dari Malaysia yang mengidamkan percutian yang bermakna bersama anak-anak mereka.
“Kami yakin Singapura merupakan pilihan yang sangat sesuai untuk keluarga dengan kanak-kanak. Ia hanya satu penerbangan yang singkat dari bandar-bandar utama di Malaysia dengan banyak penerbangan dalam sehari. Di samping itu, infrastruktur kami adalah mesra kanak-kanak dan selamat. Namun yang paling penting, Singapura mempunyai pelbagai aktiviti serta tarikan mengujakan yang dapat menggalakkan kanak- kanak untuk menerokai sesuatu yang baru.
“SingaporeJunior juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada keluarga yang melancong bersama dan menerokai pelbagai pengalaman baru, serta memperkenalkan Singapura sebagai destinasi yang paling sempurna,” kata Edward Koh, Pengarah Eksekutif STB Asia Tenggara Singapore Tourism Board.
Dalam inisiatif ini, STB akan melancarkan satu siri dalam talian yang terdiri daripada 7 episod yang akan bermula pada 19 Ogos. Bagi mengaitkan siri ini dengan konsep kekeluargaan, ia bakal diacarakan oleh Arissa Afrina, 8 dan Amelia Lee 9, dua kanak-kanak yang comel dan aktif, untuk melambangkan semangat ingin tahu serta keseronokan pelancongan dari sudut pandangan mereka.
Siri 7 episod ini akan menyampaikan keperluan spesifik bagi pelancongan bersama keluarga, dan merangkumi maklumat seperti tarikan-tarikan yang berunsurkan pendidikan, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, persediaan yang perlu dibuat, serta pelbagai tip mengenai melancong bersama kanak-kanak.
Bagi membolehkan keluarga merancang pelancongan yang menyeronokkan ke Singapura, SingaporeJunior juga akan menerbitkan rencana serta panduan pelancongan di laman Facebook STB YourSingapore, yang memaparkan pusat-pusat tarikan pelancong yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak mahupun ibu bapa mereka.
Bagi keluarga yang berminat untuk merasai pengalaman yang mesra kanak-kanak ini, mereka digalakkan berkunjung ke Singapore Pavilion di MATTA Fair untuk memperoleh maklumat daripada pembekal-pembekal perkhidmatan yang terbabit. Melalui pameran ini, mereka bakal memperoleh maklumat tentang bagaimana membuat perancangan yang lebih baik untuk percutian mereka di Singapura.