Bagi seorang wanita yang pernah menjalani hidup sebagai kanak-kanak perempuan pastinya kita semua punyai karakter puteri Disney kegemaran bukan?
Kita sering sekali menganggap diri sebagai puteri, berangan memakai selendang milik ibu kita yang kemudiannya dililit keliling badan untuk dijadikan gaun kembang seperti yang digayakan oleh Cinderella, Belle dalam filem Beauty & The Beast atau Snow White. Ya, tidak kurangnya juga yang mahu menjadi ikan duyung seperti Ariel!
Ayuh Wanista senaraikan karakter Puteri Disney mengikut bintang zodiak kelahiran. Agaknya, anda Disney Princess yang mana ya?
Aries (Mac 21 – April 19): Jasmine
Anda adalah seorang yang mesra dan senang bergaul. Anda akan lakukan sesuatu perkara mengikut gerak hati. Jasmine berani masuk ke istana semata-mata untuk memberi tahu ayahandanya bahawa “dirinya bukanlah ‘barang’ atau sesuatu yang boleh dijual beli”.
Tetapi sayangnya, Jasmine mudah benar terpedaya dengan cakap-cakap orang sehingga Aladdin menipunya (mengaku sebagai seorang putera) pun Jasmine terus percaya bulat-bulat. Meskipun diperlakukan dan diperalatkan, Aries adalah jenis pemaaf. Mereka bukan pendendam yang gemar memendam amarah lama-lama.
Taurus (April 20 – Mei 20): Cinderella
Tidak banyak mengeluh dan menerima segala apa teguran mahupun pandangan yang diberikan kepadanya.
Seperti Cinderella, anda yang berbintang Taurus adalah seorang insan penyayang, boleh dipercayai serta boleh diharap. Malah, anda juga cukup tabah untuk tidak cepat melenting -menggambarkan kekuatan emosi anda yang sebenar.
Gemini (Mei 21 – Jun 20): Anastasia
Seorang yang popular kerana sifatnya yang agak kurang konsisten. Adakalanya Gemini tidak mempunyai pendirian yang tetep. Ragu-ragu sering menghantui diri.
Seperti Anastasia, dia sukar membuat keputusan sama ada benar-benar mahu mencari neneknya atau pun tidak.
Namun begitu, cintanya terhadap Dimitri adalah sangat kuat dan romantis. Tapi hati-hati, jika tersilap langkah… Susah anda nanti.
Cancer (Jun 21 – Julai 22): Tiana
Keras kepala namun terdorong untuk berhempas-pulas, bekerja keras demi menunaikan hasrat keinginan hati. Tiana juga sangat fokus akan setiap pekerjaan yang dilakukan.
Dirinya bijak mengawal tekanan perasan, malah emosi tidak pernah menjadi penghalang yang besar untuk dirinya mencapai cita-cita.
Cuma… si Cancer jenis yang cepat kecil hati. Sensitif!
Leo (Julai 23 – Ogos 22): Mulan
Berkebolehan untuk menjadi ketua dan mereka ini tidak suka terperangkap dalam kebosanan.
Seperti Mulan, si Leo berani menegakkan keadilan seandainya mereka tahu yang mereka berada di pihak yang benar. Ya, Leo juga adalah seorang yang setia pada cintanya.
Virgo (Ogos 23 – September 22): Aurora
Mungkin seorang yang pendiam. Aurora adalah seorang yang boleh dipercayai, mendengar kata dan baik budi pekerti meskipun dihalang untuk bergaul serta menjalani kehidupan seperti orang biasa.
Aurora juga seorang yang setia. Menunggu cinta sebenarnya hadir memberinya ciuman… lantas terjaga dari lena yang panjang.
Libra (September 23 – Oktober 2): Rapunzel
Sering berada dalam keresahan. Seperti juga Rapunzel yang saban hari dikurung di menara tinggi, dihalang dari melihat dunia luar secara dekat oleh si tukang sihir yang mengaku sebagai ibunya.
Libra harus keluar dari kepompong keresahan kerana anda pasti akan lebih gembira pabila dikelilingi orang lain.
Scorpio (Oktober 23 – November 21): Ariel
Tidak gemar ditekan dan dipaksa, Scorpio gemar kehidupan bebas tanpa sebarang kongkongan serta peraturan yang perlu ditaati.
Seperti Ariel, dia ingin mahu keluar ke darat, menjadi manusia sebenar yang boleh merasai kebebasan berpanjangan, jauh dari kehidupan laut yang dipenuhi onak dan duri.
Scorpio sanggup lakukan apa sahaja demi mendapatkan apa yang dirinya mahu.
Sagittarius (November 22 – Disember 21): Pocahontas
Sukakan binatang, gemar mengembara dan sangat aktif untuk meneroka alam! Sagittarius juga dikenali kerana kepakaran mereka dalam berkomunikasi. Pandai cakap eh?
Dalam masa yang sama, anda seorang insan yang cepat jatuh cinta dan apabila hati dah sayang, anda tidak akan cari lain! Sama seperti cinta sejati Pocahontas kepada John Smith.
Capricorn (Disember 22 – Januari 19): Jane
Bijak, bercita-cita tinggi dan tetap pendirian. Sama seperti Jane dan filem Tarzan, dirinya gigih mengikut haluan bapanya untuk meredah hutan tebal di Afrika.
Bukan mudah untuk menjatuhkan si Capricon kerana mereka sering berfikiran positif. Berupaya menukar elemen negatif kepada sesuatu yang bernilai untuk diri mereka sendiri.
Aquarius (Januari 20 – Februari 18): Snow White
Mempunyai sifat belas-kasihan dan sangat mementingkan kemanusiaan. Seperti Snow White, dia tidak pernah memandang hina akan orang lain (mencuci rumah orang kerdil meskipun dia tidak tahu siapa sebenarnya yang tinggal di situ).
Aquarius adalah seorang insan yang mengamalkan sifat adil dan saksama tanpa berbelah bahagi.
Pisces (Februari 19 – Mac 20): Belle
Belle adalah merupakan anak kepada seorang ‘pencipta’. Dirinya sangat kreatif namun gemar memendam perasaan sehingga menyiksa jiwa dan raganya sendiri. Walau apa pun, dia tidak pernah tunduk dengan dusta yang orang berikan kepadanya.
Meskipun jatuh tersungkur, Pieces akan bingkas bangun untuk membetulkan keadaan.
Jadi, anda Puteri Disney yang mana?