Sesungguhnya, tujuan utama anda untuk keluar dari kepompong rutin harian dan pergi melancong adalah supaya anda dapat lari dari kesibukan biasa serta mahu menenangkan diri dari tekanan bukan?
Namun, ada beberapa perkara yang mungkin anda terlepas pandang saat sampai ke destinasi percutian. Jangan cepat leka dengan keseronokkan sekeliling jika tidak mahu terjebak dengan masalah yang akan merosakkan percutian anda itu nanti.
Ini Wanista senaraikan 20 kesalahan yang lazim anda lakukan saat pergi berlibur berserta cara untuk mengatasinya.
#1 Pembaharuan Passport
Anda harus peka, kerana passport mempunyai tarikh mati.
Ada destinasi yang hanya akan membenarkan individu untuk masuk ke negaranya dengan sekurang-kurangnya baki 3-6 bulan tarikh hidup passport tersebut. Oleh itu, sentiasa periksa tempoh hidup passport anda supaya dapat bersiap sedia lebih awal jikalau perlu memperbaharui passport anda itu.
#2 Tidak Membuat Kaji-Selidik
Jangan terburu-buru. Buat perancangan awal di manakah tempat penginapan anda. Buat tempahan awal supaya anda tidak terkandas sebaik tiba di destinasi nanti. Sekurang-kurangnya, buat perbandingan di laman web yang menawarkan pakej penginapan berpatutan, selesa serta terletak di kawasan strategik.
#3 Tidak Membaca Ulasan
Kita belajar daripada kesilapan orang lain. Di samping membuat perbezaan melalui laman web pelancongan serta laman web menginapan hotel dan resort, baca ulasan dan komen yang diberikan terhadap satu-satu hotel, syarikat pelancongan, perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain.
Dari situ anda dapat membezakan kebaikan dan keburukan sekaligus dapat membuat pilihan yang terbaik.
#4 Tidak Membuat Maklum Balas Pengesahan Semula
Anda jangan ingat tempahan anda itu akan diambil serius oleh pihak yang tertentu.
Sebaliknya, apabila tarikh melancong anda sudah semakin dekat, hubungi pihak hotel, pemandu pelancong serta agensi pelancongan yang anda berurusan itu untuk membuat pengesahan semula agar semuanya bisa berjalan lancar seperti yang dikehendaki.
Yang paling penting, anda harus ada pelan alternatif! Mana tahu kalau-kalau ada pihak urusan yang membuat masalah di saat akhir kan?
#5 Tidak Membuat Pemeriksaan Secara Efisyen
Anda salah jika anda selalu fikir yang apabila kita berurusan dengan pihak agensi pelancongan, semuanya di tanggung beres.
Dalam masa yang sama, anda harus peka tentang perkara-perkara kecil seperti tarikh penerbangan, masa pelepasan, lapangan terbang yang mana harus dituju, di mana lokasi berkumpul, semuanya anda harus ambil tahu okay?
Jangan ada yang terlepas penerbangan pula kerana tiket penerbangan saat akhir adalah mahal harganya berbanding tiket penerbangan normal. AWAS!
#6 Tidak Meletakkan Pakaian Lebih Di Dalam Beg Jinjit
Tidak semestinya anda perlu menyumbat segalanya di dalam bagasi. Pada tahun 2013, menurut SITA iaitu sebuah syarikat komunikasi dan teknologi mengesahkan, industri penerbangan telah kehilangan kira-kira 21.8 Juta beg pakaian.
Jadi, pastikan anda menyimpan sedikit pakaian dan keperluan penting di dalam beg jinjit anda yang dibawa masuk bersama ke dalam kapal terbang. Mana tahu kalau-kalau bagasi anda ditakdirkan untuk hilang, anda masih ada lebihan pakaian yang boleh digunakan atas sebab kecemasan.
#7 Meletakkan Ubat Serta Barangan Berharga Di Dalam Bagasi?
Jika anda mempunyai penyakit kronik seperti asma @ penyakit lelah umpamanya, jangan sesekali meletakkan ubat di dalam bagasi anda. Susah kalau apa-apa kecemasan berlaku. Begitu juga dengan barang kemas, komputer riba, telefon bimbit, tablet mahupun kamera.
Pastikan kesemua barangan berharga ini ada bersama dengan anda dalam beg jinjit (carry on) yang dibawa bersama ke dalam kapal terbang.
#8 Bawa Barang Berlebihan
Tolonglah! Itu hanya menyusahkan anda. Baca artikel 10 Kesalahan Mengemas Bagasi Yang Mungkin Merosakkan Percutian Anda supaya anda hanya memenuhkan bagasi dengan apa yang penting dan diperlukan sahaja. Tak perlulah kehulu-kehilir melancong sehingga 3 bagasi. Menyusahkan sahaja.
#9 Tidak Rancang Penggunaan Telefon
Memang anda masih boleh menggunakan telefon meskipun di luar negara. Tetapi, matilah anda kalau bilnya mencecah ratusan ringgit nanti.
Sebelum berlepas, pastikan telefon pintar anda berada dalam mod kapal terbang (airplane mode) yang boleh anda tetapkan pada menu tetapan telefon anda untuk mengelak daripada terkena caj yang tidak sepatutnya.
Gunakan sahaja data wifi percuma yang disedikan di hotel penginapan nanti.
#10 Tidak Membeli Buah Tangan Sebaik Sahaja Anda Melihatnya
Memang kita sentiasa mencari yang sempurna untuk dijadikan sebagai buah tangan.
Namun, harus diingatkan… dalam ‘nanti-nanti’ anda itu mungkin anda tidak akan menemui benda yang sama lagi. Jadi, ada baiknya jika anda sukakan sesuatu benda itu, anda terus membelinya kerana tidak mungkin anda mahu berpatah balik ke tempat yang sebelumnya bagi mendapatkan sesuatu.
#11 Terlalu Kedekut
Janganlah kedekut sangat, tak semua benda di dunia ini murah belaka.
Antara menginap di hotel yang mahal tetapi dekat dengan lokasi lawatan dengan menginap di hotel yang murah tetapi memerlukan anda untuk menaiki bas selama berjam-jam untuk sampai ke lokasi lawatan pelancongan, yang mana satu anda pilih?
#12 Tidak Tawar-Menawar Harga Bayaran Teksi Sebelum Menaiki
Kebanyakkan negara luar tidak mempunyai teksi bermeter, oleh itu pastikan anda tawar dahulu harga bayaran teksi sebelum menaiki. Jangan ditipu hidup-hidup oleh pemandu yang sengaja mahu mengambil kesempatan ke atas pelancong asing. Hati-hati.
#13 Menggunakan Servis Pengurup Wang Yang Mahal
Untuk mendapatkan wang tunai yang tidak memerlukan anda untuk membayar servis mahal, ada baiknya anda menggunakan ATM di lapangan terbang sahaja. Ia lebih mudah bahkan kadar tukaran wang asingnya juga cukup baik berbanding jika anda menggunakan servis pengurup wang sepanjang percutian tersebut.
#14 Terlalu Sibuk Mengambil Gambar
Paling penting adalah apa yang anda lihat dengan mata dan kepala sendiri. Gambar itu sekadar memori ingatan untuk anda simpan di dalam album.
Jangan terlalu obses mengambil gambar lalu memuat naiknya ke dalam akaun media sosial anda. Hmm, lebih-lebih lagi jika anda asyik mengambil gambar yang sama.
#15 Tidak Mempunyai Visa Yang Sepatutnya
Buat kaji-selidik terlebih dahulu. Jangan terkejut jika anda dihalau ketika di imigresen kerana tidak mempunyai dokumen Visa yang lengkap.
Ada kes memakan masa sehingga berbulan atas sebab-sebab yang tertentu bagi memproses Visa. Jadi, lengkapkan Visa anda awal-awal sebelum tarikh berlepas.
#16 Tidak Mencetak Data
Sudahlah dekat negara orang, dengan siapa anda nak minta tolong kalau kecemasan berlaku? Sebaiknya, ada cetak semua maklumat yang diperlukan tentang lokasi penginapan anda, tentang pelan dan perancangan anda mahupun maklumat peribadi penerbangan. Mana tahu jika tiba-tiba bateri peranti elektronik anda kehabisan, bolehlah manfaatkan data yang bercetak sebagai rujukan.
#17 Menggantung Beg Tangan Di Telinga Kerusi Sewaktu Di Restoran
Jangan buat pasal! Ingat, anda tu di negara orang, bukan di negara sendiri. Buatnya beg tangan anda yang mengandungi passport, dompet, wang tunai, kad kredit dan barangan penting lain itu dicuri orang. Ha, berputih matalah anda.
#18 Bawa Bersama Cecair Yang Mahal
Siapa yang selalu menaiki kapal terbang pastinya anda tahu yang cecair tidak dibenarkan untuk dibawa bersama, melainkan ia dipek dalam botol yang kecil dan dibalut dengan cermat.
Oleh itu, elakkan membawa losyen tangan mahal atau syampu dan sabun berjenama supaya kalau-kalau ia ditahan dan perlu ditinggalkan sewaktu di kaunter pemeriksaan, tak adalah anda menyesal.
#19 Tidak Periksa Kerosakkan Kereta Sewa
Jangan biarkan diri anda dituduh buta-buta dek kerana kerosakkan kereta yang anda sewa berkenaan, walhal ianya bukan ‘kerja’ anda.
Sebelum memandu dan bersetuju untuk menyewa kenderaan, periksa dahulu kondisinya. Ambil gambar kerosakkan dan kecacatan kenderaan berkenaan sebagai bukti supaya anda tidak dikenakan caj denda oleh pihak penyewa kemudian.
#20 Tidak Mempunyai Kad Kredit Yang Bersesuaian
Tahukah anda bahawa caj transaksi antarabangsa sebanyak 3% akan dikenakan ke atas penggunaan kad kredit di luar kawasan?
3% memang kelihatan tidak seberapa namun jika anda menggunakannnya selama seminggu hingga dua minggu berterusan, tak ke banyak jumlahnya?
Oleh itu, cuba dapatkan kad kredit yang tidak akan mengenakan anda dengan yuran transaksi meskipun kad itu hanya akan digunakan sewaktu melancong sahaja.
Selamat melancong semuanya!